Berita UtamaUtama

Syabas sedia 9 lokasi pili air awam di masjid, sekolah

Persediaan pengguna di 577 kawasan terjejas gangguan bekalan air

KUALA LUMPUR, 17 Syaaban 1440H, Selasa – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan menyediakan sembilan lokasi pili air awam, bagi kegunaan pengguna yang bakal terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual yang bermula jam 9 pagi esok.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pili air awam itu diletakan di kawasan strategik seperti masjid, sekolah dan pusat perniagaan.

“Sebanyak empat lokasi pili air awam diletakkan di wilayah Petaling, dua masing-masing di Klang dan Kuala Selangor, dan satu di Kuala Lumpur iaitu di Gelanggang Futsal Sungai Besi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Raof berkata, pili air awam di wilayah Klang akan ditempatkan di Masjid Ar Rahimah, Sri Andalas (berhadapan Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang) dan Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 16 (bawah kolam seksyen 16).

Sementara di wilayah Petaling, pili air awam ditempatkan berhampiran SK Desa Tasik, PJS 3, Taman Medan, Pejabat Perhutanan Sungai Buloh dan Pejabat Ahli Majlis Zon 23, Taman Awam SS9.

Manakala di wilayah Kuala Selangor, dua lokasi pili air awam berkenaan adalah di Pusat Perniagaan Alam Jaya di Jalan PPAJ 2/8 dan Pusat Perniagaan Alam Jaya Jalan PPAJ 3/8.

Katanya, pihak Air Selangor juga turut menyediakan stesen pengisian air khusus bagi pembelian air untuk pelanggan industri.

“Pihak industri boleh membuat pembelian air dan berurusan di kaunter-kaunter Pejabat Wilayah Air Selangor. Pembelian air oleh pihak industri perlu menggunakan lori tangki air yang diuruskan sendiri,” katanya.

Antara lokasi stesen pengisian air oleh pihak industri adalah; Kolam Sungai Kapar Indah C (Klang), Jalan TPK2/2, Taman Perindustrian Kinrara, Puchong (Petaling), Taman Selayang Mutiara (Gombak), Pejabat Pertanian Daerah Hulu Langat (Kuala Lumpur/Hulu Langat) dan Jalan Bukit Belimbing, Kampung Permatang, Kuala Selangor.

Sehubungan itu bermula esok sehingga 27 April, sebanyak 577 kawasan di Lembah Klang bakal mengalami gangguan bekalan air sementara, disebabkan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

Gangguan air itu membabitkan enam wilayah iaitu; Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula esok dan meliputi 620,835 pemilik akaun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas). – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close