Berita UtamaUtama

‘Pengganas penunggang agama’

Agama diguna untuk halalkan tindakan salah demi kepentingan sendiri

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Syaaban 1440H, Selasa – Pengganas pada hakikatnya hanyalah penunggang pelbagai platform tidak kira sama ada gerakan politik, perjuangan nasionalis mahupun agama.

Pun begitu, Pengarah Kajian dan Penyelidikan Multiracial Revert Malaysia (MRM), Ahmad Iqram Mohamad Noor berkata, eleman agama dan ketuhanan adalah antara pembakar semangat yang ampuh untuk digunakan bagi memperjuangkan kepentingan kelompok mereka.

“Apa yang dilakukan oleh golongan penunggang agama ini adalah mereka memperjuangkan kepentingan kumpulan mereka bagi menampakkan apa yang dibuat oleh mereka adalah satu ‘arahan Tuhan’.

“Walhal, tindakan mereka itu bukanlah mewakili kepada ajaran agama yang mereka bawa. Unsur dan imej agama digunakan untuk ‘menghalalkan’ tindakan mereka semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih teruk lagi, katanya, perkara ini seakan ditonjolkan oleh media bahawa ia hanya berlaku di dalam agama Islam sahaja, yang mana mereka seakan meletak secara mutlak bahawa Islam adalah agama keganasan.

“Sedangkan tindakan yang dilakukan oleh kumpulan seperti ISIS itu tidak pernah pun mewakili umat Islam malah mereka juga dikecam hebat oleh ulama-ulama Islam di seluruh dunia.

“Jika ingin dimainkan sentimen tindakan pengganas yang menggunakan agama itu sebagai imej bagi agamanya maka apa kurangnya gerakan pengganas yang menggunakan agama seperti Klu Klax Klan (Kristian), Buddhis Rakhine (Buddha), Saffron Terror (Hindu), Thuggee (Hindu), The Liberation Tigers of Tamil Eelam (Hindu), Zionis (Yahudi), Aum Shinrikyo (agama baru di Jepun) dan Creativity Movement (agama baru di Amerika Syarikat),” katanya.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas siri serangan bom yang berlaku di Sri Lanka, di dakwa dilakukan oleh kumpulan pengganas.

Kerajaan Sri Lanka menyalahkan ekstremis Nasional Thowheed Jamath, dengan mendakwa kumpulan itu melakukan serangan sehingga meragut 290 nyawa.

Siri letupan bom negara itu menggegarkan beberapa lokasi iaitu di Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa di Colombo pada jam 8.30 pagi waktu tempatan.

Mengulas lanjut, Iqram berkata, tindakan keganasan sedemikian tidak adil kepada sesebuah agama, kerana ada beza di antara ajaran agama dengan tindakan orang yang menganut ajaran tersebut.

“Realitinya, tidak ada agama utama di dunia ini yang mengajar membunuh manusia hanya disebabkan suka-suka atau disebabkan berbeza bangsa semata-mata.

“Setiap agama mengajar bahawa nyawa manusia merupakan harga yang sangat bernilai untuk dijaga. Malah jika dilihat di dalam kandungan ajaran agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Baha’I, Konfusian, dan lain-lain adalah mengandungi ajaran moral dan nilai yang baik terutama dalam soal membentuk sosial masyarakat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close