Berita UtamaUtama

Himpunan besar-besaran bantah PPSMI-DLP Mei ini

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan kekal dimartabat

BANGI, 17 Syaaban 1440H, Selasa – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan mengadakan himpunan besar-besaran membantah cadangan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris – Dual Language Programme (PPSMI-DLP) pada awal Mei ini.

Sekretariat UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, himpunan aman yang akan diadakan di ibu negara itu adalah untuk memberi peringatan sekali lagi kepada kerajaan baharu supaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan utama negara akan kekal dimartabatkan.

Mohd Zai yang juga Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) menegaskan, pelaksanaan semula PPSMI-DLP akan menggugat hak keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Akta Pendidikan 1996.

“Kami bukan anti-bahasa Inggeris, sebaliknya sangat setuju ianya diperkasakan sebagai bahasa kedua dan bahasa tambahan bagi meningkatkan ilmu.

“Kami mencadangkan kepada kerajaan, khususnya KPM agar meningkatkan dahulu prasarana pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris sendiri melalui pemerkasaan kurikulum silibus, kemahiran kompetensi guru dan interaktif kokurukulum serta peperiksaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Mohd Zai berkata, berdasarkan prestasi penilaian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS), semua subjek mesti diajar semula dalam bahasa Melayu seperti saranan piagam Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), bagi meningkatkan mutu dan kualiti standard Sains dan Matematik di peringkat antarabangsa.

“Sebagaimana tahun 2003 markah skor Sains pelajar Malaysia ialah 510 berada di atas markah purata dunia iaitu 500,” katanya.

Pada 8 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan PPSMI di sekolah kebangsaan telah dilaksanakan semula tanpa sebarang pengumuman dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Perdana Menteri dipetik wawancara bersama NST berkata, pentadbiran terdahulu memilih sekolah-sekolah yang dibenarkan untuk mengajar mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris, manakala yang lain pula ‘enggan’ berbuat demikian.

Ketika ini, kira-kira 1,300 sekolah di seluruh negara menggunakan program dwibahasa yang mana pengajaran Sains dan Matematik dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close