Berita UtamaDuniaUtama

Gempa Filipina: 8 maut, puluhan terperangkap bangunan runtuh

Lapangan Terbang Antarabangsa Clark ditutup berlaku kerosakan

MANILA, 17 Syaaban 1440H, Selasa – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan puluhan lagi dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan bangunan, ekoran gempa bumi dengan kekuatan 6.1 magnitud yang melanda pulau utama Luzon, Filipina, semalam.

Gempa itu melanda 60 km (37 batu) barat laut ibu kota Manila, mengganggu pengangkutan udara, kereta api dan jalan raya serta menyebabkan kerosakan terhadap bangunan dan infrastruktur.

Gabenor Pampanga, Lilia Pineda berkata, wilayahnya menerima kesan paling teruk sehingga menyebabkan lapan orang terbunuh dan kira-kira 20 orang cedera.

Sementara itu, anggota penyelamat dilaporkan masih mencari mangsa yang terperangkap setelah bangunan empat tingkat roboh, menghancurkan pasar raya di tingkat bawah.

“Kita dengar mereka menangis kesakitan. Tidak mudah untuk menyelamatkan mereka,” kata anggota penyelamat.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pampanga di Clark, bekas pangkalan tentera AS ditutup dan sejumlah penerbangan terpaksa dibatalkan selepas kerosakan di kebanyakan tempat termasuk kaunter daftar masuk.

Filipina cenderung kepada bencana alam, kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik.

Ia susulan rangkaian plat tektonik yang bersifat tidak stabil, maka gugusan kepulauan di Filipina akan sentiasa aktif sebagai tapak kegiatan seismik atau gempa bumi.

Selain itu Filipina juga dilanda taufan sebanyak 20 kali setahun, membawa hujan lebat yang mencetuskan tanah runtuh. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close