Berita UtamaUtama

2,207 aduan jenayah siber direkod, kerugian RM67.6 juta

Kes tertinggi babit penipuan panggilan, belian dalam talian: KKMM

LABUAN, 17 Syaaban 1440H, Selasa – Kes jenayah siber telah menyebabkan kerugian berjumlah RM67.6 juta, melalui 2, 207 aduan direkodkan seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Shakib Ahmad Shakir.

Shakib berkata, tiga kes tertinggi membabitkan kes penipuan panggilan yang merekodkan RM26.8 juta (773 kes), penipuan belian dalam talian RM4.2 juta (811 kes) dan African Scam berjumlah RM14.9 juta (371 kes).

Selain itu, kes jenayah siber (komersial) pinjaman tidak wujud (E-Financial Fraud) pula merekodkan 212 kes merangkumi kerugian berjumlah RM21.5 juta.

Katanya, antara kerugian adalah melalui penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data.

Beliau berkata, jumlah kerugian yang tinggi itu menimbulkan kebimbangan kepada kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.

“KKMM bertekad memerangi jenayah siber susulan kebimbangan peningkatan jumlah jenayah siber dalam pelbagai cara,” katanya ketika merasmikan Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber dan Antipemerdagangan Orang peringkat Labuan di Ujana Kewangan, hari ini.

“Jenayah siber adalah ancaman serius kepada rakyat berikutan penipuan ini berpotensi mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit daripada hasil titik peluh mereka,” katanya.

Taklimat ini sebagai salah satu komitmen KKMM dalam melaksanakan tindakan dan agenda promosi serta publisiti dalam meningkatkan kesedaran orang ramai melalui pendidikan jenayah telekomunikasi, termasuk, cara mengelak dan melindungi diri daripada menjadi mangsa sekali gus sebagai usaha membanteras jenayah ini.

Di samping itu katanya,laporan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil menunjukkan terdapat sejumlah 13,058 aduan penipuan pada 2017 berbanding 10,394 tahun lalu, penurunan kepada 2,663.

“Saya dimaklumkan bahawa jenayah tipu panggilan (telecommunication fraud) adalah jenayah paling kerap berlaku di Labuan dengan 16 aduan direkodkan pada 2017 telah meningkat kepada 19 aduan tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak 35 peratus,” katanya.

Shakib berkata, KKMM akan terus bekerjasama; dengan rakan strategik – media, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi dan jabatan di bawah KKMM seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Katanya, KKMM terbabit dengan kempen publisiti dan promosi untuk Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) sejak tahun 2017.

“Kempen itu bertujuan menyelaras penyampaian dan penyaluran maklumat dalam pelbagai bentuk dan saluran kepada orang awam,” katanya.

Beliau berkata, fungsi MAPO adalah sebagai platform menyelaras aktiviti publisiti dan promosi secara bersepadu, berkongsi maklumat serta pengukuhan bersama. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close