Berita UtamaDuniaUtama

20 maut, 54 dikhuatiri tertimbus lombong jed runtuh di Myanmar

Kolam penapis lumpur terletak di tapak perlombongan lama telah runtuh

KACHIN, 17 Syaaban 1440H, Selasa – Lebih 50 mangsa dikhuatiri terbunuh dalam kejadian runtuhan di kawasan perlombongan jed di negeri utara Kachin, Myanmar semalam.

Kejadian berlaku berhampiran kampung Maw Wun Kalay, bandar Hpakant sekitar jam 11.30 malam semalam waktu tempatan.

Seramai 54 pekerja daripada dua syarikat swasta dikhuatiri tertimbus di bawah timbunan amang, sisa lombong berserta 40 jentera melombong apabila sebuah kolam penapis lumpur yang terletak di tapak perlombongan lama itu runtuh.

Ahli politik tempatan, Tin Soe berkata, mustahil untuk kebanyakan pekerja yang tertimbus dalam runtuhan itu selamat, malah kerja-kerja menyelamat juga sukar untuk membantu mangsa.

“Sangat sukar untuk kita mengeluarkan semua mayat yang berada di bawah runtuhan itu. Tiga mayat sudah berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian,” katanya.

Sekurang-kurangnya 20 mangsa disahkan terkorban setakat ini, menurut pejabat Hpakant Township.

Kebanyakan mangsa dikenal pasti adalah pekerja asing yang melombong jed dan kepingan batu permata untuk syarikat perlombongan itu.

Ketua bomba Hpakant, Aye Thein berkata, operasi mencari dilancarkan awal pagi tadi dan usaha menyelamat masih diteruskan.

Kawasan Hpakant adalah pusat industri perlombongan jed negara dan menghasilkan beberapa jed berkualiti dan terbaik di dunia.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close