Berita UtamaIstimewaUtama

2 doktor pakar HKL saksi inkues Adib buat laporan polis diugut

Keterangan kepada Mahkamah Koroner bercanggah: Saksi dakwa dipujuk tandatangan surat persetujuan kecederaan Muhammad Adib

BANGI, 17 Syaaban 1440H, Selasa – Polis mengesahkan menerima laporan daripada dua doktor pakar Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang juga saksi inkues kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan semalam berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Subang Jaya, pada jam 9.28 malam hari berkenaan.

Laporan polis itu dipercayai berhubung kait ugutan serta cubaan mempengaruhi penilaian kedua-dua saksi pakar itu oleh seorang lagi saksi dalam kes berkenaan.

“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan iaitu ugutan bencana kepada seorang penjawat awam,” katanya dalam kenyataan.

Fadzil berkata, setakat ini tiada sebarang kenyataan lanjut akan dibuat memandangkan inkues masih sedang dijalankan.

Sementara itu, memetik MalaysiaGazette yang mendakwa melihat laporan polis itu, salah seorang pakar forensik mendakwa seorang lagi saksi pakar cuba meyakinkannya, serta seorang lagi saksi lain, untuk menandatangani surat persetujuan bahawa kecederaan di dada kanan dan di lengan atas, sebelah kanan Adib, berpunca daripada pintu kiri kenderaan EMRS.

“Saya membuat laporan ini kerana beliau telah cuba pujuk dan yakinkan saya dan Dr XX, di luar prosiding mahkamah, untuk bersetuju mengesahkan kecederaan di dada kanan dan lengan atas kanan berpunca dari pintu kiri kenderaan EMRS.

“Selain itu saya merasa tidak berpuas hati dengan kata-kata beliau “jika tidak bersetuju either you going down or i’m going down…,” menurut laporan terbabit.

Kejadian dilaporkan berlaku pada April 11 iaitu ketika ketiga-tiga saksi terbabit hadir ke Balai Bomba Subang Jaya bagi memeriksa kenderaan EMRS serta melihat proses rekonstruksi.

Sementara itu, laporan polis kedua yang dibuat seorang lagi saksi pakar mendakwa cubaan untuk mempengaruhi penilaian mereka bukan sahaja boleh menjejaskan integriti mereka sebagai saksi bahkan dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak menghormati mahkamah.

Dua pakar forensik yang memberi keterangan dalam inkues Adib adalah Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Datuk Dr Md Shah Mahmood, manakala seorang lagi pakar yang dipanggil adalah Prof Shahrom Abdul Wahid.

Pada 22 Mac lalu, Dr Ahmad Hafizam dalam keterangan kepada Mahkamah koroner Shah Alam, mengesahkan corak kecederaan pada badan arwah Muhammad Adib tidak bersepadanan akibat dipukul, ditendang atau ditumbuk.

Beliau yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik HKL memberitahu, bedah siasat terhadap mangsa mendapati kecederaan pada bahagian toraks bukanlah kecederaan yang sering atau kebiasaannya dilihat akibat dipukul dengan objek tumpul atau ditendang atau ditumbuk.

“Pada pandangan saya, corak kecederaan yang dialami si mati adalah tidak berpadanan akibat dipukul. Selain itu, tiada apa-apa kecederaan pada bahagian muka, kepala, abdomen, anggota atas dan bawah yang berpadanan dengan cedera akibat dipukul atau mempertahankan diri dijumpai pada jasad si mati,” katanya.

Bagaimanapun, pada 9 April lalu, Prof Shahrom dalam keterangan kepada Mahkamah Koroner memberitahu kemungkinan besar Adib ditarik keluar dari van EMRS, dihentak ke pintu van sekuat hati oleh lebih daripada tiga orang sehingga menyebabkan tulang rusuknya patah.

“Mangsa mati akibat kecederaan parah paru-paru kiri dan kanan akibat hentakan-hentakan trauma tumpul. Hentakan-hentakan trauma tumpul bukan akibat perbuatan diri sendiri tetapi akibat perbuatan dua atau lebih orang lain,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan penganut Hindu di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close