Berita UtamaDuniaUtama

10 maut, 30 kanak-kanak cedera polis Nigeria rempuh perarakan

Pegawai polis dibunuh orang awam kerana sengaja lakukan rempuhan

GOMBE, 17 Syaaban 1440H, Selasa – Seramai 10 orang terbunuh manakala lebih 30 yang lain cedera apabila seorang anggota polis merempuh sekumpulan kanak-kanak ketika perarakan sempena hari Easter di timur laut Nigeria, kata saksi kepada AFP, hari ini.

Kejadian bertambah tegang apabila pegawai polis itu dibunuh orang awam kerana marah dengan rempuhan yang dilakukan secara sengaja.

Insiden maut itu dilaporkan berlaku pada hari Ahad ketika polis berkenaan yang ketika itu tidak bertugas, merempuh ke arah sekumpulan perarakan yang sedang meraikan hari Easter di Gombe.

Jurucakap polis negeri, Mary Mallum mengesahkan, sepuluh orang terbunuh, termasuk pegawai polis itu dan anggota separa tentera yang bersama dengannya.

“Kami difahamkan bahawa anggota polis dan kawannya yang tidak berseragam diserang dan dibunuh oleh orang awam. Selain itu, lebih 30 kanak-kanak lain cedera dan kini berada di hospital sementara siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Saksi di tempat kejadian yang dihubungi AFP berkata, pemandu itu sengaja merempuh orang awam menggunakan kereta yang dipandu.

“Pada awalnya, pemandu kereta itu bertengkar dengan kanak-kanak sebelum mereka memberi laluan kepadanya, namun dia dengan marah menghidupkan enjin kereta dan terus merempuh mereka,” kata saksi.

Perarakan agama adalah kelaziman bagi penganut Kristian dan muslim ketika perayaan agama di Nigeria, yang mana jalan raya disekat sehingga menyebabkan gangguan lalu lintas.

Pada Disember 2016 sekurang-kurangnya 13 kanak-kanak sekolah Islam terbunuh apabila sebuah bas terbabas dari jalan dan merempuh sebuah perarakan Maulud Nabi Muhammad di kampung Malam Side, 20km dari Gombe. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close