Berita UtamaPendapat

Generasi pasca pandemik dan kemelut politik

Adakah akan lahir satu gabungan pemerintahan baru atau kepimpinan ‘kitar semula’ selepas ini?

PERBALAHAN politik yang sengit dan perlumbaan hawa nafsu untuk berkuasa bukanlah satu senario atau realiti yang ingin disaksikan oleh rakyat, bangsa dan umat. Ahli-ahli dan pemimpin politik dari semua parti nampaknya sudah melupakan mandat dan kepercayaan rakyat serta tujuan sebenar penglibatan dalam medan politik.

Semuanya indah-indah belaka di permulaan jalan. Janji, manifesto dan drama keikhlasan dan kejujuran yang dibuat-buat akan dipamerkan dan dipergula-gulakan di hadapan para pengundi. Senyuman dalam kepura-puraan sudah menjadi juadah tetap setiap kali mereka berjumpa dan bertemu dengan masyarakat. Pelbagai slogan dan jenama akan diperkenalkan demi membeli dan memperdayakan minda rakyat, umat dan bangsa agar undi dan pangkahan semasa pilihanraya nanti akan berpihak kepada mereka.

Ini adalah strategi dan SOP semasa berkempen dan sebelum menang. Semuanya adalah pelaburan dan perkiraan yang perlu membawa kepada keuntungan. Tidak ada yang percuma atau bersifat kebajikan di dalam perlumbaan menuju Putrajaya dan Parlimen.

Akan tetapi, semua dan segala-galanya akan berubah sebaik-baik sahaja kemenangan dicapai dan kaki mula menapak masuk ke singgahsana Putrajaya dan Parlimen.

Kita hanya boleh berspekulasi sahaja tentang apa yang sedang berlegar di minda barisan ‘manusia terpilih’ ini ketika itu.

Kita juga tidak pasti sama ada kalimat-kalimat keramat ‘Demi rakyat, bangsa dan agama’, ‘Demi keadilan’, ‘Demi masa depan gemilang’, ‘Kuasa rakyat’, ‘Menentang kezaliman’, ‘Memerangi rasuah’, ‘Ketelusan, Tadbir Urus cemerlang’ dan ‘Akauntabiliti’ masih lagi menjadi jurupandu dan penasihat kepada mereka semua.

Apa yang pasti ialah rakyat, bangsa dan umat telah menjadi saksi hidup kepada pusingan dan pergantian pemerintah yang bermula lebih dari 60 tahun yang lepas di mana negara telah melalui transisi pemerintahan di bawah tiga blok pemerintahan – iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan terkini Pakatan Nasional (PN).

Adakah akan lahir satu gabungan pemerintahan baru atau kepimpinan ‘kitar semula’ selepas ini? Allahu a’lam.

Saya berpandangan bahawa semua blok parti politik, pihak pemerintah dan pembangkang telah memilih waktu yang paling tidak sesuai untuk berbalah dan menunjukkan siapa yang lebih menjuarai kepentingan rakyat dan masa depan negara.

Situasi pandemik yang semakin meruncing, kesengsaraan rakyat, ketidakpastian peluang-peluang pekerjaan, kesihatan mental, keutuhan institusi keluarga dan ekonomi yang tidak menentu … semua ini tidak harus dikorbankan atau digadaikan demi mempertahankan, menjatuhkan dan mengambilalih kuasa.

Bukan untuk tujuan dan matlamat ini rakyat, umat dan bangsa berkorban, memberi mandat dan kepercayaan kepada kamu semua!

Sekiranya kita perhatikan dan teliti secara tenang dan objektif, siri-siri pergolakan dan pertelingkahan politik ini berlaku di dalam satu iklim dan ekosistem politik yang sama sahaja. Iklim dan ekosistem politik ini mula wujud dan berkembang selepas para penjajah British kembali ke kampung halaman mereka.

Semua pemain, skrip, plot dan garis penamat di dalam iklim dan ekosistem politik ini tetap sama, meskipun akan ada beberapa perubahan kecil atau tidak signifikan. Individu boleh bertukar ganti tetapi watak tetap sama.

Sistem nilai, kerangka berfikir dan sudut pandang kehidupan (worldview/outlook) masih berpaksi kepada tunjang dan dasar yang sama.

Yang bertambah hanyalah umur, uban, ghanimah dan kekayaan. Dalam banyak kes, kumpulan ini bertukar menjadi spesis kayangan yang kebal dan sangat berpengaruh. Ini tidak menghairankan oleh kerana Kuasa yang berada di tangan mereka adalah umpama anak kunci yang boleh membuka segala jenis pintu, ruang, kesempatan dan peluang.

Apabila iklim dan ekosistem politik adalah sama, maka kita tidak boleh berharap bahawa akan berlaku perubahan besar atau bermakna untuk dekad-dekad mendatang biar siapapun atau pihak manapun yang memerintah. Hanya ada dua kemungkinan sahaja daripada situasi ini – sama ada menjadi lebih baik atau semakin buruk.

Hatta mereka yang berpolitik kononnya atas nama ‘Islam’ akan turut terjebak dan terperangkap di dalam putaran iklim dan ekosistem politik yang sama. Baik BN, PH atau PN – semuanya lahir, membesar dan bergelumang dan akan mati di dalam putaran ini.

Justeru itu, apakah pilihan atau alternatif yang ada pada rakyat, bangsa, umat dan generasi muda hari ini?

Saya tidak ada jawapan yang tuntas atau yang boleh memuaskan hati semua orang. Saya juga bukan peramal masa depan.

Bagaimanapun, saya berpandangan bahawa untuk keluar dari kemelut politik yang berlarutan ini ialah dengan mencipta satu iklim dan ekosistem yang baru.

Biar betul!

Kenapa perlu buang masa untuk pekerjaan yang lambat hasilnya?

Kenapa tidak perbaiki iklim dan ekosistem ini dari dalam?

Bagaimana kamu hendak mencari pengikut dan pendukungnya?

Teknologi dan perisian apa yang kamu hendak gunakan?

Bolehkah ia menghapuskan kezaliman dan ketidakadilan?

Bolehkah ia menjamin kesejahteraan, keadilan dan kejujuran?

Mampukah ia menyediakan makan minum di atas meja?

Sabar dulu. Baru sebut satu ayat saja sudah berhamburan soalan demi soalan.

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button