Berita UtamaUtama

Lawatan PM ke China tumpu tarik pelaburan, dagangan, pelancong

Beijing diharap jadikan Malaysia pangkalan bangunkan pelbagai industri

SEREMBAN, 16 Syaaban 1440H, Isnin – Lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China pada Khamis ini akan menumpukan usaha menarik pelaburan dalam tiga sektor iaitu pelaburan, perdagangan dan pelancongan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau yang akan turut menyertai lawatan itu berkata, pihaknya berhasrat menarik pelaburan dari China menerusi pelbagai sektor.

“Apa yang penting, kita nak tarik pelaburan mereka, bina kilang di sini untuk mereka mendirikan pangkalan dalam pelbagai industri. Kita tak boleh pertikaikan bahawa China adalah satu negara kuasa ekonomi yang besar sekarang. Jadi, suka tak suka, kita perlu menarik pelaburan mereka.

“Mengenai perdagangan dengan China, ada eksport kita di sana terutamanya bahan mentah, kelapa sawit, komoditi dan sebagainya, manakala (tumpuan kepada) sektor pelancongan pula bertujuan menarik lebih ramai warga China melancong ke Malaysia.

“Saya yakin, kita nak teruskan dan tambah baik dan usaha-usaha ini (diharap) dapat meningkatkan prestasi ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Harapan Dewan Undangan Negeri Ampangan di sini, malam tadi.

Dalam lawatan ke China itu, Loke berkata, Malaysia juga akan merebut peluang untuk meneroka pelaburan dalam bidang perkapalan serta agenda utama bagi mempromosi industri sawit negara ke China.

Dr Mahathir dijadual melawat China selama empat hari bermula Khamis ini bagi menyertai Forum Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Beijing.

Beliau dijangka menyertai pelbagai program di forum berkenaan, selain mesyuarat peringkat tinggi antara kerajaan Malaysia-China serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping, dan Perdana Menteri China Li Keqiang dan ahli perniagaan dari negara berkenaan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close