Berita UtamaUtama

Konsulat Indonesia minta penjelasan kes Adelina digugur

Mahkamah gugur kes pembantu rumah dari Nusa Tenggara Timur

GEORGETOWN, 16 Syaaban 1440H, Isnin – Konsulat Indonesia di Pulau Pinang menuntut penjelasan berhubung keputusan mahkamah menggugurkan kes membabitkan seorang pembantu rumah rakyat negara itu, Adelina Jerima Sau, 21, yang meninggal dunia dipercayai didera majikannya tahun lepas.

Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Iwanshah Wibisino berkata pihaknya telah menghantar surat rasmi untuk berjumpa timbalan pendakwa raya (DPP) bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengapa kes itu digugurkan di mahkamah.

“Saya harap pertemuan itu dapat dibuat secepat mungkin kerana kami perlu memberi penjelasan kepada keluarga Adelina di Kupang, Nusa Tenggara Timur berhubung perkembangan kes tersebut dan mengapa ia digugurkan,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata, keputusan mahkamah menggugurkan kes itu bukan sahaja mengejutkan rakyat Indonesia, malah beliau percaya rakyat Malaysia juga berkongsi reaksi yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya menghormati proses undang-undang di negara ini dan berharap Adelina mendapat keadilan sewajarnya.

Jumaat lepas, media melaporkan bekas majikan pembantu rumah berkenaan, Ambika MA Shan, 61, terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini dilapor membebaskannya daripada tuduhan bunuh Adelina apabila DPP meminta dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan Tenaganita dan Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) yang menuntut Peguam Negara Tommy Thomas mengkaji semula keputusan itu.

Kes penderaan terhadap Adelina pada tahun lalu mengejutkan negara apabila dia diselamatkan dari rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam dalam keadaan tidak bermaya selepas fotonya yang terbiar di luar rumah dirakam seorang jiran.

Ketika diselamatkan, Adelina didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dengan lengan dan kakinya dipenuhi luka bernanah akibat terbakar, manakala mukanya bengkak.

Malah, mangsa juga dikatakan dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing. Bagaimanapun, Adelina meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close