Berita Utama

Usaha gencatan senjata patut dirujuk pada Hamas, bukan Israel

Sejarah buktikan Israel langgar banyak perjanjian termasuk daripada PBB

BANGI, 26 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Sebarang tindakan atau usaha ke arah gencatan senjata di Gaza perlu dibincangkan dengan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), bukannya pihak lain.

Naib Yang Dipertua BERJASA Kapar, Ustaz Pathan Hussin berkata, dunia sepatutnya merujuk dan mendapat pengiktirafan daripada Hamas terhadap usaha ke arah gencatan senjata membabitkan konflik Israel-Palestin.

Beliau menegaskan, pengiktirafan, rujukan dan persetujuan daripada Hamas penting kerana gerakan itu yang memimpin perjuangan serta pembebasan Palestin.

Apatah lagi, pengkhianatan dilakukan Israel sebelum ini dalam perjanjian, mewajarkan Hamas untuk menjadi rujukan terhadap semua perkara termasuk syarat serta peraturan dalam gencatan senjata.

“Kita tidak boleh membiarkan Israel atau mana-mana pihak yang menyebelahi mereka mengetuai gencatan senjata kerana mereka adalah pihak yang sering melanggar perjanjian.

“Sejarah membuktikan Israel telah melanggar banyak perjanjian, termasuklah yang dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan dunia lain,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengugut untuk menolak gencatan senjata atau penghantaran bahan api ke Semenanjung Gaza, melainkan Hamas membebaskan tebusan rejim itu.

Bahkan, di sebalik gesaan antarabangsa dan rayuan untuk gencatan senjata kemanusiaan, Israel terus menentang perjanjian walaupun White House mendakwa rejim bersetuju menghentikan serangan selama empat jam setiap hari di utara Gaza.

Israel terus meningkatkan tindakan ketenteraannya, termasuk serangan udara, operasi darat dan pengeboman tentera laut terutama di wilayah utara Semenanjung Gaza.

Sehingga kini, lebih 10,000 orang awam Palestin dibunuh termasuk lebih 4,400 kanak-kanak sejak konflik bermula pada 7 Oktober lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button