Berita UtamaUtama

Johor tetapkan dua kadar zakat fitrah tahun ini – RM7 dan RM10

Ketetapan bayaran zakat dibuat mengambil kira harga gred beras

JOHOR BAHRU, 16 Syaaban 1440H, Isnin – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan dua kadar harga zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM7 dan RM10.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, ketetapan harga itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dengan pengesahan MAINJ.

Katanya, penetapan harga fitrah adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan umat Islam di negeri ini iaitu pada kadar timbangan satu gantang bersamaan dengan 2.6 kilogram.

“Umat Islam di negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super tempatan perlu membayar sebanyak RM7.

“Manakala RM10 pula bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada jenis super tempatan (beras import) seperti beras wangi, beras basmathi dan lain-lain,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, di sini, semalam.

Turut hadir, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Mohd Noh Ibrahim; dan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Datuk Md Rofiki Shamsudin,

Katanya, pada tahun ini seramai 1,659 amil telah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut zakat fitrah di seluruh negeri.

Beliau berkata, unjuran pungutan zakat fitrah bagi tahun ini adalah sebanyak RM16 juta dengan anggaran seramai dua juta umat Islam di negeri ini.

“(Tambahan) jumlah pembayar setiap tahun adalah hasil daripada kelahiran baru dan juga mereka yang berhijrah ke negeri ini untuk bekerja dan sebagainya,” katanya.

Aminolhuda berkata, pada tahun ini dijangka terdapat 60,000 penerima bantuan Hari Raya bagi golongan fakir dan miskin.

“Bayaran kepada mereka akan disampaikan melalui amil dan seterusnya akan diserah kepada fakir miskin pada pertengahan Ramadhan bagi membolehkan mereka menggunakannya untuk persiapan raya.

“Bagi wang fidyah, terdapat juga seramai 15,381 penerima bantuan sara hidup bulanan iaitu sebanyak RM150 seorang dengan agihan sebanyak RM2,307,150 akan diberi sebelum bulan Ramadhan,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close