Berita UtamaIstimewaUtama

WAFIQ lapor polis kenyataan hasutan Nandini dalam Says

Akaun Facebook Dr Rafidah Hanim disekat gara-gara kritik LGBT

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 15 Syaaban 1440H, Ahad – Tindakan pejuang golongan songsang – lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) – Nandini Balakrishnan yang sengaja mencetuskan provokasi menerusi video yang disiarkan di laman web Says.com, baru-baru ini, disifatkan keterlaluan dan melampau.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat Pertubuhan Gabungan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) semalam, bagi menuntut tindakan tegas terhadap Nandini serta laman web terbabit.

Laporan berkenaan dibuat oleh Presiden WAFIQ, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar di Balai Polis Bandar Baru Bangi, di sini kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Saya membuat laporan berkenaan kerana ramai umat Islam berasa tersinggung dengan Nandini dalam video Says.com berkaitan LGBT.

“Kita tidak mahu dinormalisasikan atau dibiarkan usah pihak-pihak tertentu mengolok-olokkan mufti dan perdana menteri, hanya semata mereka tidak bersetuju dengan LGBT,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Menerusi video berdurasi lebih enam minit itu, Nandini memperlekehkan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Nor; Menteri Pelancongan, Mohammadin Ketapi; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, yang menolak amalan LGBT di negara ini.

Aktivis hak asasi itu berkata, komuniti LGBT di negara ini tidak mempromosinya sebagai satu agenda, kerana menyifatkan amalan songsang itu hanyalah orientasi seksual dan identiti jantina.

Mengecam kenyataan Nandini itu, Dr Rafidah Hanim berkata, dia bukan sahaja memperlekehkan pemimpin dan mufti negara, malah merendah-rendahkan mentaliti orang lain yang tidak bersetuju dengan LGBT.

“Dan saya tengok video itu memang jelas dia memfokuskan kepada orang Islam, sebab dia menyebut Mufti Pulau Pinang, perdana menteri, Brunei dan hukum syariah.

“Pada saya ia juga satu bentuk serangan ke atas umat Islam. Dan saya rasa bila diusik sensitiviti begitu, ia boleh menyebabkan kita umat Islam marah, mencetuskan ketegangan kaum,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Rafidah Hanim turut mengesahkan bahawa laman Facebooknya ‘Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar’ disekat sejak petang tadi.

“Saya tidak pasti punca ia disekat. Sama ada berkaitan posting terakhir saya atau secara ‘umum’ sebagai serangan pihak tertentu ekoran kelantangan saya berhubung isu ini, sejak dua tiga hari lalu,” katanya.

Difahamkan, akaun Facebook beliau disekat selepas membuat laporan polis itu.

Ini bukan kali pertama Facebook menggantung akaun individu yang membantah dan menentang budaya songsang LGBT.

Sebelum ini, Facebook Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi digantung selepas beliau mengkritik aktivis sosial, Marina Tun Mahathir.

Menerusi posting yang dimuat naik pada 6 Ogos tahun lalu, Dr Ilyani lantang mengkritik desakan Marina yang mahukan hak kesamarataan golongan LGBT, sama seperti dinikmati rakyat negara ini.

Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G), Dr Murizah Mohd Zain turut menerima nasib sama apabila akaun Facebooknya digantung sementara, selepas memuat naik kenyataan menyokong kelantangan Dr Ilyani.

Akaun Facebook Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Dr Ahmad Sanusi, juga baru-baru ini disekat selama tiga hari selepas beliau menegur tindakan individu bukan Islam menghina Rasulullah ﷺ.

Sekatan ke atas laman Facebook Dr Ahmad Sanusi itu berlaku selepas beliau menulis satu hantaran bertajuk ‘Jangan biarkan Rasulullah dihina’ berkaitan isu tular Foo Sing Wai yang menghina Rasulullah ﷺ.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close