Berita UtamaUtama

Tiada rakyat kita jadi mangsa insiden pengeboman di Sri Lanka

Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan di hotel, gereja

PUTRAJAYA, 15 Syaaban 1440H, Ahad – Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam beberapa kejadian letupan di Colombo, Sri Lanka hari ini.

Pengesahan itu susulan laporan letupan di beberapa lokasi termasuk gereja di ibu negara Sri Lanka berkenaan iaitu; di Kochikade Church, Katuwapitiya Church, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan sebuah gereja di Batticaloa.

Kejadian kira-kira 8.30 pagi waktu tempatan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 49 nyawa.

Sementara itu dalam kenyataannya, Wisma Putra berkata, setakat 1.30 tengah hari waktu Malaysia, tiada rakyat negara ini dilaporkan tersenarai sebagai antara yang maut.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan berharap mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah berkenaan akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Kementerian Luar turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di kawasan berdekatan agar berhati-hati, serta mengikuti perkembangan terkini menerusi laporan berita dan juga pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo sedang memantau rapi situasi di sana.

Oleh itu, mereka yang memerlukan maklumat lanjut atau sebarang bantuan boleh ke suruhanjaya itu di 45, Rosmead Place Colombo 07, Sri Lanka atau melalui talian 00-(94) 11 755 7711 (pejabat)/00-(94) 76 677 4445 /00-(94) 76 398 8777 serta e-mel mwcolombo@kln.gov.my. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close