Berita UtamaDuniaUtama

Siri pengeboman: Sri Lanka isytihar perintah berkurung

Jumlah mangsa maut di tiga gereja, tiga hotel meningkat 150

COLOMBO, 15 Syaaban 1440H, Ahad – Kerajaan Sri Lanka mengisytiharkan perintah berkurung seluruh negara berkuat kuasa serta-merta, susulan insiden siri letupan sehingga mengorbankan lebih 150 nyawa, dan mencederakan ratusan yang lain hari ini.

Menteri Pertahanan, Ruwan Wijewardene berkata, perintah berkurung itu akan bermula pada waktu malam, bermula jam 6 petang sehingga 6 pagi waktu tempatan.

“Perintah berkurung itu juga akan dikuatkuasakan sehinggalah perkara ini selesai,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan juga memutuskan untuk menyekat semua platform media sosial di seluruh negara itu ketika ini.

Setiausaha kepada Presiden, Udaya R. Seneviratne berkata, sekatan sementara itu turut membabitkan Facebook dan aplikasi Whatsapp, bagi mengelakkan penyebaran sebarang maklumat salah dan tidak tepat.

“Bagaimanapun, ini hanyalah langkah sementara sahaja,” katanya.

Setakat ini, angka korban siri letupan yang menyasarkan hotel dan gereja di wilayah itu meningkat kepada hampir 200 orang, termasuk warga asing dan tiga pegawai polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan itu, enam siri letupan bom menggegarkan hotel mewah dan gereja di Sri Lanka tatkala penganut Kristian menyambut Easter Sunday.

Tiga letupan bom berlaku di gereja Katholik, manakala tiga lagi menggegarkan hotel lima bintang – Cinnamon Grand, Kingsbury dan Shangri-La – yang terletak di tengah-tengah pusat bandar ini.

Letupan bom itu dilaporkan berlaku dalam jarak masa yang hampir sejam. Letupan pertama berlaku di sebuah gereja di sini, disusuli letupan berikutnya dalam jarak masa setengah jam dan sejam.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Susulan insiden itu, pihak berkuasa telah membatalkan semua sambutan dan perayaan, sementara kawalan keselamatan diperketatkan.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close