Berita Utama

Jangan terlalu lemah, negara Arab patut urus bantuan ikut ‘mood’ perang Israel

Banyak bantuan disekat, tidak sampai ikut keperluan penduduk Gaza

Oleh Athirah Huda Zalhe

PUTRAJAYA, 2 Jamadilawal 1445H, Khamis – Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) percaya bantuan kemanusiaan boleh sampai kepada penduduk Semenanjung Gaza secara menyeluruh, sekiranya negara-negara Arab menerima usul sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab, baru-baru ini.

Pengerusi GSPP, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, pintu Rafah berpotensi dibuka dengan mudah sekiranya Mesir serius menggerakkan tentera dan mengancam konvoi ketenteraannya jika laluan sempadan dengan Gaza itu ditutup.

Ini kerana, langkah menutup dan membuka pintu sempadan Rafah dibuat berdasarkan kehendak rejim Israel, sehingga menyebabkan kebanyakan bantuan tersekat dan tidak sampai kepada penduduk Gaza.

“Konvoi (bantuan) yang sampai juga dalam format Israel, maka bantuan itu akan ditapis oleh pos keselamatan Israel.

“Maknanya, bantuan yang Israel tidak mahu sampai kepada penduduk Gaza akan disekat, di mana air sedikit, minyak tak dibenarkan masuk, makanan cuma pek segera.

“Bahkan, Israel juga menetapkan supaya bantuan hanya sampai di sebelah selatan Gaza dan tidak naik ke sebelah utara,” katanya dalam sidang media Tuntutan GSPP Kepada Negara Arab di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Fauzi, tindak-tanduk Israel di pintu sempadan Rafah itu mencerminkan langkah rejim menguruskan bantuan kemanusiaan dalam emosi perang.

“Sebab itu pintu Rafah tidak akan berfungsi dengan baik kalau negara Arab juga tidak mengambil langkah menguruskannya dalam ‘mood’ perang.

“Misalnya di Gaza memerlukan bantuan 500 kontena, tetapi yang sampai hanya 100 dan adakalanya 10 atau 20 sehari. Memang tidak cukup sebab Israel menguruskan kemasukan bantuan kemanusiaan dan pintu Rafah berdasarkan pada ‘mood’ perang,” katanya.

Berbeza dengan negara Arab, beliau berkata, kebanyakaannya pengurusan mereka cenderung kepada emosi kemanusiaan menyebabkan langkah pembukaan pintu Rafah tertakluk kepada ketetapan Israel.

“Pertama sekali negara Arab sepatutnya membuat keputusan menguruskan bantuan kemanusiaan dan pintu Rafah itu berdasarkan pada ‘mood’ perang.

“Kalau ‘mood’ perang, bermakna bantuan dihantar dengan konvoi tentera dan dihantar ke utara supaya memberi manfaat kepada penduduk Gaza,” katanya.

Berita berkaitan;

Pemimpin Arab bersikap tuli, khianati perjuangan rakyat Palestin

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button