Berita UtamaUtama

Jakim tetap tolak, tak kompromi pelakuan puak songsang LGBT

Program Mukhayyam bagi membimbing komuniti LGBT tetap diteruskan

BANGI, 15 Syaaban 1440H, Ahad – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap menolak pelakuan puak songsang – lesbian, gay, biseksual dan transeksuan (LGBT) – tetapi tidak menafikan hak pelakunya untuk dibimbing dan dinasihati.

Bagaimanapun, Jakim menegaskan, walaupun menyantuni LGBT yang ingin mendapatkan hak beragama, dibimbing dengan pendekatan berhikmah dan rahman, ia tidak bermakna agensi itu berkompromi dengan pelakuan yang bercanggah dengan syariat.

“Ia bertepatan dengan fungsi JAKIM sebagai agensi pusat dalam melaksanakan program pembangunan ummah dan penghayatan Islam.

“Selain itu, ia juga selaras dengan prinsip Maqasid Syariah di antaranya untuk menjaga keturunan, supaya keluarga yang dibina berasaskan konsep asas keluarga iaitu di antara lelaki dan perempuan,” kata Jakim dalam satu kenyataan, hari ini, bagi mengulas ucapan aktivis LGBT, Numan Afifi serta disokong 41 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam ucapannya pada Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Mac lalu, Numan mendakwa program Mukhayyam bersama LGBT beragama Islam, dianjurkan Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebagai ‘State Sponsored Violence’ menggunakan pendekatan ‘corrective therapy’.

“Jakim ingin menjelaskan bahawa program Mukhayyam bersama komuniti LGBT yang beragama Islam sebagai suatu inisiatif untuk membantu mereka dalam usaha menjalani kehidupan yang selari dengan tuntutan syariat,” kata Jakim.

Antara objektif program Mukhayyam ialah:

i. Membimbing dan memberikan kesedaran kerohanian / spritual terhadap golongan LGBT melalui pendekatan agama (Tauhid) untuk mereka menghadapi cabaran hidup serta kembali kepada kehidupan fitrah;

ii. Memberikan pendedahan dan bimbingan ilmu fardu ain kepada golongan ini bagi melaksanakan tuntutan agama;

iii. Memberikan pengetahuan dan kesedaran berkaitan kesihatan khususnya HIV dan lain-lain penyakit berjangkit;

iv. Memberikan bimbingan motivasi serta kemahiran mempertingkatkan jati diri; dan

v. Menghapuskan stigma dan diskriminasi antara komuniti ini dengan golongan agama serta masyarakat sekeliling.

Jakim berkata, peserta program Mukhayyam ini tidak pernah dipaksa untuk hadir dan untuk berubah, sebaliknya mereka sentiasa diberikan bimbingan mengikuti slot yang disediakan secara sukarela, bahkan, tiada unsur keganasan dan pendekatan kekerasan digunakan sebagaimana yang didakwa Numan dan 41 NGO berkenaan.

Jakim juga menegaskan bahawa mana-mana pelakuan yang menyanggahi syariat perlu diberi peringatan sama ada dalam bentuk dakwah berterusan, atau tindakan perundangan.

Sehubugan itu, Jakim akan meneruskan program Mukhayyam bagi membimbing komuniti LGBT berdasarkan impak program yang diakui berkesan sebagaimana dapatan oleh peserta dan sokonganNGO.

“Jakim mengingatkan tuntutan kehidupan bermasyarakat dalam negara perlu selari dengan panduan agama, sosio budaya setempat, nilai-nilai ketimuran serta apa yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan yang sedia ada di dalam negara,” kata Jakim.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close