Berita UtamaUtama

GPMS gesa kerajaan kekal status quo kemasukan matrikulasi

KPM akan bawa isu untuk perhatian mesyuarat Jemaah Menteri Rabu

BANGI, 15 Syaaban 1440H, Ahad – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa agar status quo kemasukan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan dikekalkan seperti sedia ada.

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor dalam satu kenyataan hari ini, berkata, status quo itu wajib dipertahankan dan dihormati oleh semua pihak.

Katanya, kerajaan terdahulu telah pun membuka 10 peratus daripada peruntukan tempat di Program Matrikulasi kepada kaum-kaum lain untuk membantu mereka memenuhi keperluan melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Maka, tidak ada keperluan lagi untuk menambah tempat memandangkan bilangan populasi Bumiputera semakin meningkat dan semakin ramai pelajar Melayu dan Bumiputera memerlukan bantuan program PraUniversiti dan seterusnya mengikuti pengajian di universiti.

“Justeru, GPMS menyeru sekeras-kerasnya agar status quo yang dipertahankan dan dihormati oleh semua. GPMS gusar dengan tindakan Kerajaan menyalutinya dengan terma ‘one-off’ kerana tiada jaminan kaedah ini tidak akan digunakan pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin dalam kenyataan berasingan berkata, isu berkenaan akan dibawa untuk perhatian Mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini bagi menyelesaikan pelbagai perkara berbangkit.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan isu ini dapat ditangani dengan cermat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik melalui saluran yang tepat.

“Berdasarkan keperluan, KPM kekal dengan dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus bagi bukan Bumiputera.

“Di samping mengekalkan dasar itu, penambahbaikan telah dibuat pada tahun ini dengan memberikan peluang tempat kepada 60 peratus pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Ketika ini, sebanyak 25,000 kapasiti pengambilan pelajar setiap tahun dengan dasar semasa sebanyak 22,500 untuk pelajar Bumiputera dan 2,500 untuk bukan Bumiputera.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close