Berita UtamaDunia

Turki tahan pengintip UAE, siasat kaitan pembunuhan Khashoggi

Mayat wartawan terkenal belum ditemui, dipercayai dibakar dalam relau

ISTANBUL, 14 Syaaban 1440H, Sabtu – Turki menahan dua lelaki dipercayai pengintip Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan siasatan dijalankan sama ada mempunyai kaitan dengan pembunuhan wartawan terkenal, Jamal Khashoggi, tahun lalu.

Salah seorang suspek tiba di Turki pada Oktober 2018, beberapa hari selepas Khashoggi terbunuh di dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki, kata pegawai yang tidak mahu dikenali.

Penahanan itu dianggap sebagai sebahagian siasatan oleh Pendakwa Raya Istanbul berhubung dakwaan pengintipan UAE.

Khashoggi, yang melarikan diri ke Amerika Syarikat, dibunuh sepasukan anggota perisikan dari Riyadh, ketika memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Sebelum ini, Arab Saudi memberi pelbagai versi kenyataan berhubung kehilangan Khashoggi, termasuk mendakwa penulis Washington Post itu sudah keluar dari pejabat konsulat berkenaan selepas urusannya selesai.

Riyadh kemudian mengesahkan Khashoggi terbunuh dalam pergaduhan dengan individu yang menemuinya di dalam pejabat konsulat itu dan berkata, 18 suspek kes berkenaan ditangkap, manakala seorang pegawai tertinggi perisikan berpangkat jeneral dipecat.

Beberapa anggota pasukan pembunuh itu adalah mereka yang rapat dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

Sehingga kini, mayat Khashoggi belum ditemui dan dipercayai dikerat dan mungkin dibakar dalam relau besar, berdasarkan maklumat yang disiarkan dalam dokumentari Al Jazeera. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close