ArtikelBerita UtamaUtama

KTMB: Nahas usah dicari

17 maut dilanggar tren kereta api sepanjang tahun lalu

AHAD lalu, dua lelaki dipercayai warga Myanmar maut dirempuh komuter ketika melintas laluan tren itu di Kilometer 371.7 Sungai Buloh-Kepong dekat sini. Insiden jam 6.03 petang itu menokok dua lagi nyawa yang melayang ekoran tindakan pencerobohan landasan.

Tahun lalu sahaja, 17 orang mangsa maut dilanggar tren di pelbagai lokasi di sepanjang 1,655 kilometer jajaran kereta api KTMB. Satu nyawa amat berharga.

Apatah lagi apabila ia membabitkan sektor pengangkutan awam yang semakin moden dan sentiasa menyumbang kepada pembangunan negara sejak lebih seabad itu. Perkhidmatan tren semakin efisien dan laju. Ini membawa bersamanya kemajuan dan tidak dinafikan, implikasi kelangsungan yang tersendiri.

Operasi tren meningkat

Hari ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) beroperasi di seluruh pelosok Semenanjung, membawa bersamanya 108,352 penumpang sehari atau 3.29 juta orang sebulan.

Ketua Komunikasi Korporat KTMB, Ahmad ‘Asri Khalbi, berkata selain penumpang, syarikat itu turut jadi penggerak kepada hampir 500,000 tan muatan sebulan atau 5.8 juta tan kargo setahun.

Beliau berkata, dengan jumlah penumpang menghampiri 40 juta orang setahun itu, tidak dinafikan peneraju operasi kereta api nasional itu memikul tanggungjawab yang berat.

“Ia tidak hanya bagi memastikan semua pengguna dan muatannya bergerak dari satu destinasi ke destinasi mengikut jadual tetapi juga tiba di destinasi tujuan dengan selamat.

“Justeru, setiap kali berlakunya kejadian pencerobohan, kecurian dan kemalangan melibatkan manusia mahupun haiwan, operasi KTMB secara khusus dan negara secara amnya, amat terkesan,” katanya.

Anggota Unit Polis Bantuan KTMB melakukan pemeriksaan setiap kali sebelum kereta api bergerak bagi memastikan keselamatan penumpang dan orang ramai.

Usaha tangani statistik

‘Asri berkata, selain 17 mangsa rempuhan tren sepanjang tahun lepas, turut direkodkan ialah 53 kes perlanggaran binatang ternakan, 86 kecurian peralatan dan kabel serta 14 lagi kejadian membaling batu ke arah kereta api.

Sepanjang tahun lalu, KTMB merekodkan kerugian berjumlah hampir RM200,000 bagi menggantikan peralatan yang dicuri dan kerja-kerja baik pulih aset akibat perlanggaran dengan binatang ternakan.

Pelbagai langkah proaktif telah diambil KTMB bagi mengurangkan kes-kes itu dan usaha itu akan terus dilakukan dalam memastikan insiden sedemikian tidak terus menghantui pengoperasian tren-trennya.

Ini termasuk kempen sepanjang tahun untuk mendidik dan mengingatkan pengguna mengenai aspek keselamatan berhampiran aset kereta api seperti landasan dan stesen.

Usaha itu dilakukan dengan pelbagai cara termasuk komunikasi interaktif dengan pelanggan secara bersemuka dan menerusi pelbagai saluran media baharu.

Taklimat keselamatan kereta api juga turut dijalankan di institusi pendidikan, kawasan tumpuan masyarakat serta pemegang taruh di segenap lapisan secara berkala.

Turut diadakan, penetapan dan kemas kini papan-papan tanda amaran bahaya, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) serta meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang jajaran operasinya.

Kawalan Unit Polis Bantuan KTMB turut dipertingkatkan dan sehingga Disember tahun lepas, seramai 170 orang berjaya ditangkap oleh unit itu atas pelbagai kesalahan termasuk pencerobohan kawasan landasan.

Potensi bahaya

Namun, segala usaha itu masih tidak mampu mengekang sepenuhnya kejadian yang tidak diingini daripada terus menimpa operasi kereta api yang berfungsi sepanjang 365 hari setahun itu.

Cabaran yang mendepani KTMB juga semakin kompleks. Ini apabila set-set tren yang lebih moden, laju, senyap dan berkapasiti tinggi diperkenalkan, sekali gus membabitkan langkah keselamatan yang semakin mencabar.

Perkhidmatan kereta api elektik (ETS), tren antarabandar (KTM Intercity), KTM Komuter dan KTM Kargo kini bergerak dengan purata kelajuan maksimum di antara 80 dan 140 kilometer sejam.

Selain tren-tren yang bergerak mengikut jadual komersial, turut mempunyai bahaya tersendiri adalah perjalanan kereta api yang tidak dijadualkan seperti tren bantuan operasi, jentera perekod landasan (track recording car) serta tren sewa khas.

Selain itu, pembinaan landasan berkembar elektrik di antara Padang Besar dan kini diteruskan sehingga ke Johor Bahru, ditenagakan oleh bekalan tenaga elektrik sehingga 25,000 kilovolt (kV).

Potensi bahaya terkena renjatan elektrik daripada talian sumber tenaga di kawasan landasan itu amatlah tinggi sekiranya langkah dan panduan keselamatan mengenainya tidak dipatuhi dengan sempurna.

Usah leka dan lalai

Pada 19 Disember 2015, seorang pekerja kontrak potong rumput maut di tempat kejadian apabila dirempuh tren komuter ketika sedang leka berswafoto di landasan KTMB di Nilai, Negeri Sembilan.

Mangsa dilaporkan berdiri berhampiran landasan dan mengambil gambar bagi membuktikan kepada majikannya bahawa kerja pada hari itu telah selesai. Kelekaan itu akhirnya membawa padah kepadanya apabila kehadiran komuter itu tidak disedari mangsa.

Dalam kejadian lain, keputusan dua beradik untuk tidak menggunakan jejantas pejalan kaki akhirnya membawa padah apabila kedua-duanya maut dilanggar komuter berhampiran Kampung Jawa, Klang pada 3 Mac 2017.

Selain manusia, pencerobohan binatang ternakan juga memberikan impak serius kepada operasi kereta api memandangkan kes-kes itu berlaku saban masa.

Sepanjang tahun lepas, sebanyak tiga hingga lapan kejadian perlanggaran membabitkan binatang ternakan berlaku setiap bulan dan setiap insiden telah menyebabkan kerosakan kepada aset, kelewatan tren serta kemungkinan berlakunya nahas lebih buruk lagi.

Elakkan kemalangan

“Bayangkan tren ETS yang bergerak sehingga 140 kilometer sejam dengan kapasiti hampir 500 penumpang itu berlanggar dengan sekawan lembu yang meragut rumput berhampiran landasan.

“Impak insiden sedemikian rupa tentunya tidak mahu kita fikirkan. Justeru, usaha membanteras kejadian itu daripada berlaku perlu dilakukan secara berterusan dan melibatkan pelbagai pihak,” kata ‘Asri lagi.

Seksyen 128, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 bulan atau kedua-keduanya sekali bagi kesalahan merosakkan pagar premis kereta api untuk melintas landasan kereta api.

Manakala akta yang sama turut mengenakan denda sebanyak RM500 bagi kesalahan melintas landasan kereta api.

Hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya turut diperuntukkan dalam akta yang sama bagi kesalahan merosakkan harta benda kereta api.

Unit Komunikasi Korporat KTMB

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close