Berita UtamaUtama

Dua warga Nepal dibelasah kerana cabul pemandu Grab

Suspek ditahan, disiasat ikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan

BUKIT MERTAJAM, 14 Syaaban 1440H, Sabtu – Dua lelaki warga Nepal dibelasah orang ramai, sebelum mereka ditahan kerana mencabul seorang pemandu Grab wanita dalam kejadian di Bukit Minyak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, dua lelaki berusia 23 dan 29 tahun itu menggunakan perkhidmatan Grabcar dipandu seorang wanita berusia 27 tahun, kerana mahu pulang ke rumah sewa di Taman Juru, di sini.

“Pemandu wanita itu mengambil dua lelaki itu yang dipercayai dalam keadaan mabuk, di Jalan Stesen Bukit Mertajam dan mangsa meminta mereka duduk di kerusi penumpang belakang.

“Ketika dalam perjalanan, lelaki berusia 23 tahun telah bertindak melangkah duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan dan cuba dihalang mangsa namun tidak berjaya,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pemandu wanita itu yang bimbang kejadian tidak diingini berlaku bertindak memberhentikan keretanya di Jalan Betik dan meminta lelaki berkenaan untuk keluar dan duduk di kerusi penumpang belakang.

Nik Ros Azhan berkata, ketika berada di Jalan Song Ban Kheng, lelaki itu memegang dan mencium tangan mangsa serta menarik badan wanita berkenaan sebelum meramas dadanya.

Katanya, kejadian itu dihalang oleh mangsa, namun suspek sekali lagi melakukannya sebelum wanita berkenaan memberi amaran untuk menghantar mereka ke balai polis berhampiran.

“Selepas diberi amaran, lelaki itu tidak lagi bertindak sedemikian sehinggalah rakannya muntah, dan dia bertindak agresif dengan menarik badan wanita berkenaan dengan kuat untuk memeluk mangsa serta mencabulnya,” katanya.

Beliau berkata, pemandu wanita itu bertindak memberhentikan keretanya di Jalan Bukit Minyak dan keluar untuk meminta bantuan orang ramai, sebelum mereka membelasah dua suspek sehingga cedera di muka.

Katanya, dua lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum mereka dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut.

“Dua lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close