Pendapat

‘Dehijabbing’ perjuangan hak wanita cetek akal

Pejuang hak asasi berpaksikan liberalisme kembalilah ke pangkal jalan

MALAYSIA Baru dihebohkan dengan satu istilah baru “dehijabbing”. Istilah ini membawa maksud proses membuka tudung bagi seorang wanita muslimah yang merupakan salah satu daripada proses pembebasan diri daripada cengkaman agama.

Islam telah lama membebaskan manusia secara umumnya dan wanita secara khusus. Pembebasan dalam erti kata sebenar dan bukan sekadar momokan “bebas, bebas” namun akhirnya menjadi hamba kepada dunia dan seisinya.

Ketika sampainya seruan islam ke Tanah Arab, seluruh dunia menyaksikan ketidakadilan dan objektifikasi yang berlaku terhadap wanita di setiap pelusuk dunia ini. Di Tanah Arab umpamanya, wanita dianggap sebagai pencemar maruah keluarga dan anak-anak perempuan di tanam hidup-hidup.

Tidak kurang di Parsi dan Rome rata-rata wanita dijadikan objek seks, hak pemilikan oleh golongan lelaki dan kebolehan mereka tidak ditonjolkan. Malah dalam sesetengah agama, wanita dihalang daripada memasuki tempat-tempat suci seperti kuil.

Rasulullah ﷺ mengangkat darjat wanita dengan Islam. Budaya menanam anak perempuan dihapuskan, wanita disuruh menutup aurat agar tidak diganggu, wanita diberi hak dalam sistem ekonomi, sosial dan politik dan diiktiraf kebolehan mereka.

Sistem perhambaan dan gundik dihapuskan berperingkat-peringkat melalui hadis dan ayat-ayat Al-Quran. Saidatina Khadijah diiktiraf sebagai insan pertama memeluk Islam dan Saidatina Aishah diiktiraf sebagai ulama tempat rujukan bagi para sahabat setelah kewafatan Baginda Rasulullah ﷺ.

Kecenderungan sistem sosial terdahulu mengobjektifikasi wanita dan tidak memberikan hak kepada mereka bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kerajaan tersebut berdiri atas dorongan hawa nafsu dan bukannya wahyu.

Allah SWT yang menciptakan manusia lelaki dan perempuan memberikan ketetapan yang cukup sempurna bagi kedua-dua golongan ini yang menjadikan mereka melengkapi antara satu sama lain. Islam sebagai agama wahyu yang terakhir diutuskan menggariskan serba-serbi perkara demi mengangkat darjat wanita.

Sikap menjauhkan diri dari agama demi membebaskan diri dari terbelenggu hanya akan membawa seorang wanita itu semakin jauh dari haknya yang sebenar. Sungguh cetek sebuah pandangan yang menganggap sehelai kain yang menutupi kepala sebagai lambang penindasan apabila masih ramai wanita-wanita di luar sana yang dijadikan objek pelaris barangan dan sebagainya oleh kapitalis yang berkepentingan.

Amatlah terkebelakang perjuangan menuntut hak membebaskan diri dari sehelai kain apabila Islam sejak 1400 tahun yang lalu memperjuangkan hak sosial, politik, pendidikan dan ekonomi wanita dalam erti kata yang lebih holistik.

Banyak negara yang majoriti rakyatnya Muslim masih belum berjaya mempamerkan contoh terbaik bagaimana Islam mengangkat darjat wanita. Negara seperti Arab Saudi bukanlah contoh kepada pemerintahan Islam yang sebenar walaupun sering digembar-gemburkan sebagai sebuah negara yang menggunakan undang-undang syariah. Hakikatnya undang-undang Islam tidak pernah menghalang seorang wanita daripada mengejar kejayaan di dunia dan di akhirat.

Namun yang demikian, negara-negara ini jauh lebih baik dalam memelihara wanita kerana tidak sewenang-wenangnya menggunakan tubuh badan wanita sebagai pelaris produk dan barang. Adalah memilukan apabila wanita-wanita yang sama yang begitu benci kepada sehelai kain tidak memandang program-program yang mempamerkan tubuh wanita seperti iklan-iklan, peragaan fesyen, pertandingan ratu cantik dan sebagainya sebagai sesuatu yang perlu ditentang dan dijadikan bahan penulisan.

Kepada pejuang hak asasi wanita yang berpaksikan liberalisme, kembalilah ke pangkal jalan dan tuntutlah hak-hak asasi wanita secara tulis ikhlas tanpa dipengaruhi oleh golongan kapitalis yang hanya mempergunakan mereka demi laba dan keuntungan.

Seruan dehijabbing bukanlah untuk mempertegaskan bahawa wanita mempunyai pilihan tetapi untuk mendorongkan serta memerangkap wanita kepada tekanan kehidupan berorientasikan material serta memaksa wanita muslimah menjual maruah diri tanpa sedar.

Dr Fatimah Zaharah Rosli
Exco Penerangan Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close