Berita Utama

Umat Islam bertanggungjawab pertahan akidah anak Loh

Penjagaan ketiga-tiga anak mualaf di bawah NGO Islam jauh lebih baik dan selamat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 19 Rejab 1443H, Isnin – Umat Islam sewajarnya mengambil perhatian dan memberi sokongan moral kepada ketiga-tiga anak Loh Siew Hong supaya kekal berada dalam keimanan mempertahankan akidah mereka.

Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berkata, apabila seseorang itu telah menjadi muslim maka wajib bagi setiap saudara seagamanya mempertahankan akidah yang diyakininya agar tidak dicabuli dan dimurtadkan kembali.

Sehubungan itu, katanya, dalam kes tiga anak Loh yang telah memeluk Islam dan menjadi mualaf, maka wajib atas setiap muslim yang lain bukan hanya membela mereka supaya mempertahankannya, tetapi juga bertanggungjawab mendidik mereka supaya beramal dan amalan yang betul.

“Umat Islam tidak boleh berlepas tangan malahan dipertanggungjawabkan akan kebajikan seseorang itu sebaik sahaja ia menjadi mualaf.

“Jika agama lain yang kufur kepada Allah SWT boleh menjaga kebajikan penganut barunya, mengapa Malaysia yang dalam Perlembagaan termaktub pada Perkara 3, Islam adalah Agama Persekutuan, tidak berupaya menjaga, mempertahan, dan mendidik para mualaf,” katanya kepada Ismaweb.net.

Sementara mengulas mengenai pendengaran habeas corpus hari ini, Haji Rashidi berkata, ia akan menentukan sama ada ketiga-tiga anak itu akan kekal berada di bawah jagaan badan bukan kerajaan (NGO) Islam atau dikembalikan semula ke pangkuan ibu mereka.

Beliau bagaimanapun berpendapat penjagaan terhadap ketiga-tiga anak mualaf ini di bawah NGO Islam jauh lebih baik dan selamat.

Pautan terdahulu;

Hasrat Loh cabar penukaran agama 3 anak babit isu akidah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button