Berita UtamaDuniaUtama

Bayi terkecil dunia sedia pulang

Ryusuke Sekino dilahirkan di Tokyo dengan hanya seberat 258 gram

TOKYO, 14 Syaaban 1440H, Sabtu – Berat Ryusuke Sekino kini naik kepada 3.37 kilogram, selepas diawasi selama lima bulan di sebuah hospital di Nagano, Jepun, lapor agensi berita Kyodo.

“Bayi itu hanya seberat 258 gram ketika dilahirkan, dan kini bersedia untuk pulang ke rumahnya di Tokyo,” kata Kyodo.

Ibunya, Toshiko Sekino berkata, Ryusuke terlalu kecil hingga dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menyentuh dan mendukungnya.

Sementara itu, Dr Takehiko Hiroma berkata, bayi lelaki terkecil dunia itu menjadikan rawatan terlalu sukar.

“Kerana sebaik dilahirkan, doktor berdepan masalah memasukkan tiub ke saluran darahnya yang terlalu halus,” katanya.

Ryusuke memecah rekod dunia menjadi bayi terkecil pernah dilahirkan Ogos lalu, dengan perbezaan 10 gram.

“Kadar survival bayi dilahirkan dengan berat kurang daripada satu kilogram di Jepun adalah kira-kira 90 peratus, tetapi bagi bayi yang berat kurang 300 gram adalah rendah, terutama lelaki,” lapor Kyodo.

Agensi berita itu memetik Pendaftar Bayi Terkecil Universiti Iowa, Amerika Syarikat, yang berkata, pemegang rekod bayi terkecil pernah dilahirkan di Hospital Universiti Keio, seberat 268 gram.

Laman web Pendaftaran Bayi Terkecil menyenaraikan 25 bayi di seluruh dunia, yang dilahirkan dengan berat kurang daripada 300 gram dan selamat – enam daripadanya lelaki. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close