Berita Utama

Ringgit masih kekal di bawah RM4.1 berbanding 1 dolar Amerika

Mata wang kita menyusut dengan banyak, belian semasa harga rendah

KUALA LUMPUR, 13 Syaaban 1440H, Jumaat – Ringgit mengakhiri penyusutan tiga hari berturut-turut berbanding dolar AS untuk ditutup tinggi hari ini, susulan sentimen pasaran yang lebih positif apabila kebimbangan mengenai aliran keluar modal semakin reda, dalam keadaan harga minyak mentah naik, kata peniaga.

Pada 6 petang tadi, ringgit meningkat kepada 4.1300/1350 berbanding dolar US daripada 4.1400/1450 ketika ditutup semalam.

Laporan baru-baru ini mengenai kemungkinan Malaysia dikeluarkan daripada FTSE Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) dan tindakan penarikan pegangan dana kekayaan negara Norway telah mendorong penjualan dalam pasaran tukaran asing, sekali gus menyebabkan pergerakan ringgit menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan pada Rabu.

“Ringgit telah menyusut dengan banyak dan kini belian semasa harga rendah wujud untuk mengambil peluang terhadap keadaan ini. Pelabur kini lebih menumpukan kepada pergerakan asas,” kata peniaga kepada Bernama.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan menyifatkan kelemahan ringgit berbanding dolar AS adalah bersifat sementara seperti dibuktikan dengan peningkatan semula ringgit hari ini yang disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh.

Beliau berkata, data inflasi Malaysia pada Mac yang dikeluarkan minggu depan bagi menunjukkan sama ada harga meningkat semula daripada deflasi yang dicatatkan pada dua bulan pertama tahun ini, boleh mengimbangi kelemahan ringgit berbanding dolar US sekiranya maklumat itu merekodkan inflasi.

“Secara keseluruhan, kami menjangka tekanan harga akan terus dapat dikawal sepanjang 2019, sekali gus membolehkan penggunaan domestik akan terus memacu pertumbuhan,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tertinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0473/0514 daripada 3.0535/0584 pada Khamis dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6898/6949 daripada 3.6991/6039.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3707/3792 berbanding 5.3853/3935, semalam dan naik berbanding euro kepada 4.6446/6506 daripada 4.6579/6640, semalam. – Bernama

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close