Berita UtamaDuniaUncategorizedUtama

Pindaan Perlembagaan: Mesir tingkat kawalan keselamatan

El-Sisi mungkin kekal berkuasa untuk penggal ketiga sehingga 2030

KAHERAH, 13 Syaaban 1440H, Jumaat – Mesir meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh negara menjelang keputusan referendum cadangan pindaan Perlembagaan Sabtu ini, yang bakal membenarkan Presiden Abdel Fattah el-Sisi kekal berkuasa sehingga 2030.

“Angkatan tentera sedang mengambil langkah-langkah untuk menjamin referendum nanti. Dalam penyelarasan bersama Kementerian Dalam Negeri, pasukan tentera akan memastikan institusi penting negara terkawal sepanjang proses pungutan suara itu,” kata tentera Mesir dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu berkata, pesawat pengawasan akan digunakan di seluruh negara untuk memastikan tiada sebarang tindakan yang berpotensi menghalang proses pengundian.

Selasa lalu, Parlimen Mesir meluluskan pindaan Perlembagaan untuk memanjangkan tempoh pemerintahan presiden daripada empat tahun kepada enam tahun.

Jika diluluskan, pindaan itu juga akan membolehkan rejim el-Sisi menyambung penggal ketiga sebagai presiden pada tahun 2024.

Dalam Perlembagaan semasa yang disahkan pada tahun 2014, presiden hanya dibenarkan memegang jawatan itu selama dua tahun atau maksimum empat tahun.

Bagaimanapun, pindaan Perlembagaan itu memungkinkan penggal kedua el-Sisi yang dipegangnya dalam pilihan raya tahun lalu – yang sepatutnya berakhir pada tahun 2024, bersambung untuk penggal ketiga bagi tempoh enam tahun lagi.

El-Sisi adalah Presiden yang merampas kuasa daripada pemimpin Mesir yang dilantik secara demokrasi pada 2013, Mohamed Morsi.

Beliau ketika itu memegang jawatan jeneral tentera melepaskan tugas, berikutan mahu menjadi Presiden pada pilihan raya umum 2014. Pencalonan El-Sisi disahkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

Sepanjang tempoh pemerintahannya, beliau didakwa mengetuai tindakan keras terhadap lawan politiknya, menahan ribuan pembangkang termasuk aktivis hak asasi manusia Mesir. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close