ArtikelTarbiyyah

Memakai tudung perintah dari Tuhan

Perintah menutup aurat adalah penghormatan Islam kepada wanita

JELAS di dalam al-Quran terdapat ayat yang mengandungi suruhan ke atas para wanita untuk menutup aurat dengan memakai tudung, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nur ayat 31:

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;

Para ahli tafsir seperti Ibnu Kathir, Sayyid Qutub dan al-Maraghi menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘khimar’ di dalam ayat di atas adalah tudung yang menutup kepala dan Allah SWT memerintahkan supaya ia dilabuhkan hingga menutupi dada. Ini adalah merupakan suatu perintah yang jelas kepada para wanita yang beriman untuk ditaati.

Allah SWT memerintahkan agar menutup seluruh badan kecuali yang zahir dan yang boleh dilihat iaitu muka dan pergelangan tangan dan seterusnya menutup kepala dan melabuhkan tudung hingga ke dada. Ianya dinyatakan secara jelas di dalam ayat tersebut.

Ini bemakna aurat wanita adalah seluruh badan melainkan muka dan pergelangan tangan. Inilah tafsiran ulama, antaranya Ibnu Kathir, Sayyid Qutb, As-Sa’adi dan al-Maraghi.

Maka tuduhan yang mengatakan bahawa tiada arahan dari Allah untuk memakai tudung adalah salah sama sekali. Kecelaruan sebegini lahir daripada cara fikir liberal yang mengagungkan kebebasan berfikir sehingga ke tahap menterjemahkan ayat al-Quran mengikut tafsiran logik akal.

Pemahaman sebegini menolak kaedah dan metodologi keilmuan Islam, di mana tafsiran pada mana-mana ayat al-Quran dan hadis hendaklah mengikut disiplin dan kaedah Tafsir, Uslub Tafsir, sabab nuzul ayat, syarah hadis, sabab wurud hadis, dan lain-lain.

Cara pemikiran liberal

Cara fikir sebegini akhirnya melahirkan golongan Islam Liberal. Golongan ini tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula Al-Quran, menilai semula syariat dan hukum-hukum feqah.

Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulama, termasuk tafsiran daripada Rasulullah ﷺ, Sahabat RA, Tabiin serta ulama mujtahid.

Bagi mereka agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa, sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara putus (qatcie). Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Penjagaan aurat adalah satu penghormatan

Setiap wanita cenderung untuk menjadi cantik dan dilihat cantik. Allah SWT tidak menghalang kehendak fitrah ini, akan tetapi Allah menyusun agar ianya selari dengan nilai-nilai kemanusiaan dan bukan kehaiwanan. Di sini Allah SWT meletakkan maksud kecantikan yang sebenar adalah mereka yang menutup aurat mereka dengan sempurna.

Allah SWT menjadikan kecantikan hanya boleh dilihat oleh orang-orang yang tertentu sahaja seperti suami, ayah, adik beradik dan bapa-bapa saudara. Penjagaan aurat adalah penjagaan diri dari terdedah kepada gangguan mereka yang berniat jahat seterusnya memelihara kemakmuran dalam sesebuah masyarakat.

Hakikatnya, perintah untuk memakai tudung dan menutup aurat adalah satu bentuk penghormatan Islam kepada wanita. Ia adalah satu bentuk pemeliharaan dan wanita akan lebih dihormati. Wanita yang hatinya dilimpahi dengan cahaya Allah SWT akan menerima suruhanNya ini dengan penuh ketaatan dan ketundukan.

Ustazah Suriani binti Sudi
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close