Berita UtamaUtama

‘Jangan alih institusi Raja-Raja Melayu dari istana ke muzium’

Boleh nak kritik tindakan Raja-Raja Melayu, tapi perlu beradab sopan

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 13 Syaaban 1440H, Jumaat – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengajak rakyat sama-sama mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu kerana mempunyai kuasa tertentu yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak.

Tidak menafikan rakyat bebas mengeluarkan pandangan mengkritik tindakan Raja-Raja Melayu, namun Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu menegaskan, ianya perlu disulami dengan nilai ketimuran dan adab sopan, supaya tidak mencemarkan kemuliaan institusi raja.

Beliau berkata, Perlembagaan mempunyai peruntukan khusus, sekiranya mana-mana individu tidak berpuas hati terhadap perlakuan peribadi mana-mana Raja-Raja Melayu, sama ada dalam kes jenayah atau kes sivil boleh membawa tindakan tersebut ke Mahkamah Khas menurut Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, katanya, raja-raja juga boleh memulakan tindakan terhadap mana-mana orang melalui peruntukan yang sama.

“Justeru, marilah kita sama-sama menginsafi kedudukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Kita pertahankan jati diri negara ini.

“Jangan alihkan institusi Raja-Raja Melayu ini dari istana ke muzium sebagaimana yang terjadi di beberapa negara lain. Sudah sampai masanya Raja-Raja Melayu memainkan peranan aktif dalam menstabilkan dan memelihara keamanan negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Statut Rom yang ditarik balik penyertaannya, Datuk Zainul Rijal berkata, sebagai ketua agama, raja-raja Melayu bertanggungjawab untuk mempertahankan agama Islam.

Tindakan itu katanya, selaras dengan sumpah baginda memelihara agama Islam pada setiap masa.

“Oleh sebab itulah raja-raja Melayu menolak tindakan kerajaan meratifikasi Statut Rom kerana ia memberi kesan kepada kemuliaan raja-raja Melayu serta kedaulatan negara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom, berikutan terlalu banyak kekeliruan, dan mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja Melayu.

Statut Rom mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2002, dan sehingga Mac 2019, 124 daripada 193 anggpta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menerima perjanjian itu.

Statut Rom adalah suatu perjanjian antarabangsa bagi mewujudkan ICC yang berfungsi sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada di sesuatu Negara Pihak (State Party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa seperti yang terkandung dalam Artikel 5 Statut Rom iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close