Berita UtamaDuniaUtama

FIFA sokong pemain profesional boikot media sosial 24 jam

Twitter, Facebook, Instagram dituduh alat sebar diskriminasi kaum

ZURICH, 13 Syaaban 1440H, Jumaat – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyokong rancangan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) memboikot media sosial selama 24 jam, mulai hari ini, kerana membiarkannya menjadi alat menyebar kebencian kaum.

Sambil merancang usaha memisahkan diskriminasi kaum di dalam sukan itu, FIFA dalam kenyataan semalam berkata, badan tertinggi bola sepak itu sentiasa memerangi sikap rasis bukan sahaja di dalam sukan itu, tetapi juga di kalangan masyarakat.

Rancangan PFA memboikot media sosial itu turut mendapat sokongan daripada pemain profesional Liga Premier Inggeris yang akan berhenti menggunakan Twitter, Facebook dan Instagram selama 24 jam mulai 9 pagi.

FIFA yang berpangkalan di sini berkata, mereka juga menyediakan langkah konkrit yang akan memberi impak ke seluruh dunia dengan melancarkan kempen menentang diskriminasi.

Badan bola sepak itu juga akan menghantar surat kepada 211 anggotanya dan enam persekutuan bola sepak wilayah untuk meminta mereka melaksanakan tiga langkah – membenarkan pengadil memberhentikan permainan; menggantung perlawanan; dan menamatkan perlawanan – jika diskriminasi masih berterusan.

Kenyataan FIFA dibuat susulan pengumuman PFA – kesatuan sekerja pemain bola profesional England dan Wales – untuk memboikot media sosial, yang menjadi saluran mengutuk pemain berdasarkan kaum sejak beberapa minggu lalu.

“Boikot adalah langkah pertama dalam kempen yang lebih lama bagi menangani isu perkauman dalam bola sepak. Tindakan ini menunjukkan perpaduan di kalangan pemain,” kata PFA dalam kenyataan semalam.

PFA juga menggesa pengendali rangkaian media sosial dan pihak berkuasa bola sepak bertindak tegas terhadap diskriminasi kaum sama ada di dalam atau di luar padang. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close