Berita UtamaUtama

RCI Wang Kelian: Nama dalang diserah kepada pihak berkuasa

Sumber beritahu wujud kerjasama penduduk setempat dengan sindiket

PUTRAJAYA, 12 Syaaban 1440H, Khamis – Senarai individu yang disyaki sebagai dalang membawa masuk pendatang tanpa izin ke Wang Kelian, Perlis, telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan, kata saksi keenam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di situ.

Bekas Penolong Pegawai Pemerintah Medan Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) S. Sivanganam berkata, maklumat berkenaan diserahkan kepada Ketua Polis Perlis, Ketua Polis Kedah, Unit Risikan Sempadan Kedah Perlis serta Unit Risikan Batalion 3 PGA selepas menerimanya daripada satu sumber menerusi panggilan telefon.

Katanya, sumber yang tidak mahu dikenali itu tetapi hanya memperkenalkan diri sebagai penduduk Wang Kelian, telah memberikan maklumat mengenai wujudnya kerjasama antara penduduk di situ dengan satu sindiket, serta bagaimana mereka menghantar pendatang tanpa izin dari Bukit Wang Burma ke tempat lain di seluruh negara.

“Sehari selepas penemuan kem penempatan itu pada 19 Januari 2015, saya dihubungi oleh seseorang daripada Wang Kelian yang memberikan banyak informasi berkenaan sindiket berkenaan.

“Kemudian, saya turun ke Wang Kelian bagi membuat pengesahan satu nama yang diberi iaitu Aziz atau Azim yang dikatakan menjadi orang tengah sindiket membabitkan Malaysia-Thailand. Saya mendapati individu berpenyakit kulit yang menjalankan perniagaan di Arked Wang Kelian berhampiran bangunan CIQ itu wujud, dan sama seperti yang digambarkan oleh pemberi maklumat,” katanya.

Bagaimanapun Sivanganam berkata, beliau tidak pasti sama ada maklumat yang mengandungi senarai nama mereka yang terbabit dalam sindiket itu, diserahkan kepada pihak berkenaan pada 22 Januari untuk diambil tindakan lanjut atau sebaliknya.

Katanya, ini disebabkan beliau tidak lagi dibenarkan kembali ke kawasan penemuan kem sementara dan kubur itu selepas tempoh kawalan atau tugasan selama sebulan di situ berakhir.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan selepas tempoh sebulan bertugas di kawasan itu selesai, ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pengerusi RCI Tan Sri Norian Mai.

“Oleh kerana Tan Sri tanya, saya jawab. Saya dilarang untuk kembali ke kawasan operasi oleh Komander Nasir,” katanya tanpa memperincikan mengenai komander terbabit.

Namun ketika ditanya kenapa beliau tidak dibenarkan kembali bertugas di kawasan itu, Sivanganam berkata:

“Saya tidak mempersoalkan. Arahan komander adalah untuk tidak pergi ke kawasan itu dalam operasi akan datang”.

Beliau yang bersara pada Julai 2016 turut memaklumkan bahawa, sebanyak lapan nama disebut oleh pemberi maklumat telah dimasukkan di dalam laporan itu.

Prosiding akan disambung semula 22 April ini. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close