AfrikaBerita UtamaDuniaUtama

Majlis tentera Sudan tangkap dua saudara Omar al-Bashid

Ahli perniagaan 'simbol rejim terdahulu' ditahan dalam operasi

KHARTOUM, 12 Syaaban 1440H, Khamis – Majlis Peralihan Kuasa Sudan – diketuai tentera – (TMC) semalam, mengumumkan mereka menangkap dua saudara presiden yang digulingkan, Omar al-Bashir, dalam kempen menahan ‘simbol rejim terdahulu’.

TMC dalam kenyataannya berkata, ahli perniagaan – Abdallah dan al-Abbas al-Bashir, adalah antara individu terkenal yang ditahan dalam operasi itu.

Semalam, Omar dipindahkan dari kediamannya di dalam kawasan kem tentera ibu negara Sudan ke penjara kawalan maksimum Kobar, kata sumber keluarga bekas presiden itu, tatkala tentera mengumumkan mengambil langkah memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Media melaporkan, ribuan aktivis ditangkap, diseksa dan dibunuh di Kobar dalam tempoh Omar berkuasa selama lebih tiga dekad lalu.

Jurucakap TMC, Shams El Din Kabbashi juga berkata, pasukan yang beroperasi di luar institusi di bawah Omar, termasuk Barisan Pertahanan Popular (PDF), Pasukan Khidmat Negara, dan unit rahsia polis, kini diletakkan di bawah kawalan tentera atau polis.

Semua pasukan itu sebelum ini dituduh oleh penunjuk perasaan mempunyai kaitan dengan parti pemerintah – Parti Kongres Kebangsaan.

Leftenan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, yang terbabit dalam dialog dengan penunjuk perasaan jalanan sebelum ini, kini diangkat mengetuai TMC, dan berjanji akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh dua tahun.

Semalam, wakil penunjuk perasaan dan pembangkang utama, dikenali sebagai ‘Angkatan Perisytiharan Kebebasan dan Perubahan’ menyerahkan dokumen dua muka surat kepada TMC menolak kewujudan majlis berkenaan.

Dokumen itu turut menggesa diwujudkan sebuah kerajaan mengandungi tidak lebih 17 menteri dan Parlimen pula berjumlah 120 anggota bagi menyelia kerajaan.

Bagaimanapun, TMC belum bersedia berbuat demikian, sebaliknya berjanji memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close