Berita Utama

ADUN UMNO ‘ok’ Gerakan tanding DUN Kota Lama

Cuma kena fikir lebih jauh, bimbang kalah teruk calarkan lagi imej parti

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 6 Rejab 1442H, Khamis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO tidak mempunyai masalah sekiranya Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mahu ‘mencuba nasib’ bertanding di DUN Kota Lama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ini kerana, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, justeru kita tidak boleh menghalang mana-mana parti untuk meletakkan calon di sesuatu kawasan, kata ADUN Kuala Balah, Datuk Abd Aziz Derashid. 

Bagaimanapun, beliau percaya PAS kekal akan meletakkan calon mereka di kerusi DUN Kota Lama Kelantan – di mana sebelum ini hanya pertembungan antara PAS dan MCA.

“Lagi pun Gerakan baru sahaja menyertai PN (Perikatan Nasional). Maka, bergantung pada PN nak letak calon di situ.

“Cumanya, tradisi di situ adalah PAS menentang MCA. Tetapi, jika Gerakan mahu mencuba nasib, tiada masalah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Gerakan Kelantan menuntut PAS menyerahkan DUN Kota Lama kepada parti itu untuk ditandingi dalam PRU15.

Tuntutan itu dibuat Pembantu Setiausaha Gerakan Kelantan, Gan Thuan Bun baru-baru ini, selepas mendakwa PAS sudah lama mempertahankan kerusi itu sedangkan majoriti pengundi DUN Kota Lama adalah masyarakat Cina.

Mengulas lanjut tuntutan itu, Abd Aziz berkata, Gerakan perlu membuat perkiraan politik sebelum memutuskan untuk meletak calon di mana-mana kawasan, termasuk di Kelantan.

“Saya cadang Gerakan pertimbanglah secara logik sama ada patut atau tidak mereka tanding di situ.

“Tetapi tak salah jika mereka nak cuba dahulu, nak tengok pengaruh atau sokongan pengundi terhadap parti mereka,” katanya.

Namun, beliau menyarankan supaya Gerakan berfikir lebih jauh kerana bimbang kekalahan teruk di kerusi itu akan mencalarkan lagi imej parti mereka.

“Mereka akan ada masalah mengenai calon, cawangan dan jentera. Saya rasa kalau Gerakan nak bertanding perlulah bekerja lebih awal bukan dekat PRU saja.

“Lainlah jika Gerakan dah bertapak lima atau enam tahun mungkin sesuai lah. Apatah lagi senario di Kelantan, rakyat sememangnya biasa dengan PAS dan UMNO.

“Parti lain mungkin susah mendapat tempat, seperti PRU14 lalu di mana PAN dan Bersatu hilang deposit mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button