Berita UtamaUtama

Kos bina dua tangki tambahan rumah Najib RM56,500: Saksi

Saksi ketujuh terima cek daripada pengurus kediaman bekas PM

KUALA LUMPUR, 12 Syaaban 1440H, Khamis – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa kos pemasangan dua tangki tambahan di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah berjumlah RM56,500.

Saksi pendakwaan ketujuh, pengarah urusan Syarikat MOZ (M) Sdn Bhd, Mohammed Zakariyya Zearat Khan, 35, yang bertanggungjawab melakukan kerja penambahan tangki itu berkata, pemasangan itu dilakukan setelah menerima panggilan daripada pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terdapat gangguan bekalan air di kediaman bekas perdana menteri itu.

“Pihak Syabas memaklumkan kediaman Najib di Jalan Langgak Duta kerap berlaku gangguan bekalan air kerana terletak di kawasan berbukit,” kata saksi itu ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan kes Najib yang masuk hari kelima hari ini.

Saksi itu turut berkata, beliau menerima satu cek berjumlah RM56,500 daripada Amirul Hadi yang juga pengurus kediaman Najib yang terletak di Jalan Langgak Duta bagi tujuan pembayaran kerja pemasangan tangki tambahan itu.

Muhammad Saifuddin: Kamu ada mengeluarkan apa-apa sebut harga bagi kerja-kerja penambahan ini?

Mohammed Zakariyya: Ya, ada.

Muhammad Saifuddin: Untuk berapa jumlahnya?

Mohammed Zakariyya: Pada mulanya harga RM50,000 kemudian ada tambahan yang menjadikan jumlah keseluruhan RM56,500.

Saksi kemudian telah dirujuk dengan satu invois oleh pihak pendakwaan.

Muhammad Saifuddin: Boleh kamu lihat invois itu, adakah ia invois syarikat kamu?

Mohammed Zakariyya: Ya, invois syarikat bertarikh 12 Feb 2015 dan tandatangan saya di bawahnya.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi kerja pembinaan dua tangki air booster jenis fiber masing-masing berkapasiti 6,000 liter dengan pemasangan konkrit, panel untuk kawalan rumah pam dan rumah pam itu sendiri, yang siap dalam tempoh dua minggu.

Ketika ditanya pihak pembelaan mengenai anggaran individu yang dapat ditampung oleh tangki dibinanya, Mohammed Zakariyya berkata ia dapat digunakan oleh 10 hingga 20 orang.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan jumlah penghuni rumah termasuk tetamu yang datang ke rumah itu seperti pelajar tahfiz yang selalu mengadakan majlis bacaan Yasin beberapa kali dalam seminggu.

Beliau turut berkata, pemasangan dua tangki tambahan itu adalah satu keperluan bagi kediaman berkenaan dan bukan kemewahan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close