Berita UtamaIstimewaUtama

Kenapa AG rahsiakan afidavit Adib meninggal bukan dipukul?

Dokumen awam Peguam Negara hanya diserahkan kepada kuil

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

AMPANG, 12 Syaaban 1440H, Khamis – Seolah-olah ada sesuatu yang hendak disembunyikan, afidavit Peguam Negara yang menyatakan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia bukan disebabkan dipukul, telah menjadi ‘dokumen rahsia’.

Tidak diserahkan kepada pihak berkepentingan lain dalam inkues kematian Adib, termasuk peguam keluarga Allahyarham, dokumen awam itu hanya diserahkan oleh Jabatan Peguam Negara kepada peguam yang mewakili jawatankuasa bertindak Kuil Mariamman Seafield, sahaja.

“Kenapa nak rahsia sangat afidavit itu? Kenapa tidak mendedahkan afidavit bahawa kematian anggota bomba bukan disebabkan dipukul kepada pihak berkepentingan?”

Itu persoalan yang dibangkitkan pengamal undang-undang yang juga aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Aidil Khalid, sambil menjelaskan, afidavit adalah dokumen awam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Jabatan Peguam Negara yang secara diam-diam menyerahkan afidavit mengatakan Adib meninggal dunia bukan kerana dipukul, hanya kepada peguam kuil terbabit – pihak berkepentingan lain tidak diberikan salinannya.

Malah, afidavit itu telah difailkan pada 3 April, dan hanya terdedah kepada umum kelmarin apabila peguam kuil memberitahu media bahawa anak guamnya menarik balik rayuan berdasarkan afidavit dikemukakan Jabatan Peguam Negara. Menurut peguam, M Visvanathan, afidavit itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah.

Sebelum ini, jawatankuasa kuil itu mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang membicarakan inkues Adib, yang menolak permohonan kuil menjadi pemerhati.

Afidavit itu turut menyatakan, pakar patologi forensik memberi keterangan dalam prosiding inkues bahawa kecederaan yang dialami Adib, sehingga membawa kepada kematiannya, bukan kecederaan akibat dipukul.

Sebelum ini, ketika inkues dijalankan, seorang saksi yang juga pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan corak kecederaan pada badan Adib tidak sepadan dengan akibat dipukul, ditendang atau ditumbuk.

Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik HKL memberitahu Mahkamah Koroner bahawa bedah siasat terhadap mangsa mendapati kecederaan pada bahagian toraks bukanlah kecederaan yang sering atau kebiasaannya dilihat akibat dipukul dengan objek tumpul atau ditendang atau ditumbuk.

Namun, kenyataan beliau ‘disanggah’ jururawat Institut Jantung Negara menerusi hantaran di Facebook, sehingga menyebabkan Dr Ahmad Hafizam dicaci netizen. Jururawat itu bagaimanapun, memadam semua kenyataan di Facebook beliau, selepas ‘ditegur’ seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Aidil berkata, beliau berbincang dengan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai perkara itu, dan peguam KPKT mengesahkan tidak menerima salinan afidavit berkenaan.

“Jadi isunya sekarang ini macam mana perbicaraan itu boleh dijalankan tanpa pihak-pihak terbabit yang mempunyai kepentingan menerima salinannya. Kenapa nak rahsia sangat afidavit itu?

“Sebenarnya afidavit ini dokumen awam. Jadi kita tuntut ia mesti didedahkan. Tunjukkan apa sebenarnya kandungan afidavit itu,” katanya ketika sidang media di Pejabat Pertubuhan Muafakat Malaysia (Muafakat), di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai pihak yang menerima afidavit berkenaan, Aidil memaklumkan dokumen itu hanya diserahkan kepada wakil Kuil Mariamman Seafield.

Susulan pendedahan mengenai ‘afidavit rahsia 3 April’, pelbagai pihak mengecam dan mengkritik Jabatan Peguam Negara, kerana membuat keputusan lebih awal, sedangkan Mahkamah Koroner masih menjalankan inkues kematian anggota bomba itu.

Sesetengah pihak menyifatkan inkues kematian Adib, sekadar kepura-puraan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan penganut Hindu di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close