Berita UtamaUtama

Forum wanita buka tudung usaha terancang cabar Islam

Penganjur sengaja beri peluang peserta persoal hukum Allah

Oleh Siti Fatimah Ishak 

BANGI, 12 Syaaban 1440H, Khamis – Penganjuran forum memgenai pengalaman wanita membuka tudung di Petaling Jaya baru-baru ini, dilihat mencabar hukum agama, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perbincangan topik seumpama itu seolah-olah sengaja diadakan atas nama hak bersuara, malah secara bebas mentafsir hukum mengikut kehendak masing-masing.

Katanya, penganjur juga sengaja memberi peluang kepada mereka yang tidak menghormati tuntutan Islam menutup aurat, mempersoal hukum yang ditetapkan Allah.

“Memilih untuk membuka tudung adalah urusan peribadi mereka. Akan tetapi untuk menganjur suatu perbahasan yang menyentuh soal hukum tanpa merujuk kepada pihak berautoriti dalam agama, memberi implikasi yang negatif kepada Islam.

“Apa tujuan mempersoalkan hukum agama Islam jika tidak mereka berniat menjadikan Islam bebas mengikut kehendak mereka. Mereka cuba mengutarakan Islam yang berfahaman liberal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas penganjuran forum mengenai ‘Wanita Muslim dan Tudung’, membincangkan isu perempuan Melayu yang tidak lagi bertudung di pejabat sebuah penerbitan di Petaling Jaya.

Setakat ini difahamkan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membuat siasatan berhubung intipati forum berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, yang memperkenalkan ‘Rahmatan Lil Alamin’ juga sudah mengambil maklum perkara itu.

Menyambut baik tindakan pihak berkuasa, Azmi yakin forum yang dianjurkan itu disengajakan, bertujuan menimbulkan polemik dalam masyarakat.

Justeru, beliau mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan sebuah forum bagi menangani isu pihak tertentu yang mahu berbahas mengenai hukum Islam.

“Mereka yang ragu-ragu mengenai isu hukum syariat, tetapi tidak mempunyai asas ilmu agama Islam, hendaklah berhenti daripada mempolemikkan isu agama secara terbuka,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close