Berita UtamaUtama

‘Prosiding inkues belum selesai, keputusan dah ada’

Peguam Negara seperti ada agenda nafi cerita sebenar kematian Adib

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 11 Syaaban 1440H, Rabu – Rakyat berasa kecewa dengan sikap Peguam Negara, Tommy Thomas yang seolah-olah mempunyai satu agenda untuk menafikan cerita sebenar, di sebalik kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya hari ini berkata, belum selesai prosiding inkues dijalankan, Tommy sudah membuat keputusan lebih awal bahawa Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia bukan sebab dipukul.

Meragui keputusan Tommy itu, beliau hairan kenapa Peguam Negara terlalu cepat membuat afidavit, dan tidak menunggu sehingga prosiding inkues berkenaan selesai.

“Kenapa cepat sangat nak buat afidavit? Maka, sebab apa inkues kalau dah buat keputusan awal?

“Dalam keterangan salah seorang saksi yang juga pembantu hospital yang pernah bertanya pada Allahyarham Adib ketika merawatnya, Adib mengatakan beliau dipukul.

“Jururawat juga ada mengaku begitu, tetapi kemudian membuat ‘u-turn’. Pihak bomba pun kata beliau dipukul,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, prosiding inkues kali ini dilihat ‘pelik’ dan banyak percanggahan, termasuk cara membuat keputusan sebelum inkues selesai.

Pada 15 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner menolak permohonannya untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian Adib.

Peguam, M Visvanathan, yang mewakili jawatankuasa itu berkata, anak guamnya menarik balik rayuan itu berdasarkan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April.

Beliau berkata, afidavit itu, yang disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, menyatakan kematian Adib bukan akibat dipukul.

Afidavit itu turut menyatakan pakar patologi forensik memberi keterangan dalam prosiding inkues bahawa kecederaan yang dialami Adib, sehingga membawa kepada kematiannya, bukan kecederaan akibat dipukul.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close