Artikel Khas

Bertaubatlah! Tidak ada negara bangkit dengan bahasa asing

Ada rakyat negara kita terlalu dewakan bahasa Inggeris

APABILA Perdana Menteri mahu mendaulatkan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dengan pelbagai perancangan dan strategi, ada segelintir begitu sinis dan kuat menentang. Kumpulan yang berkiblatkan Barat dan sekular ini mengatakan ia langkah kebelakang, membawa negara menjadi mundur.

Saya cukup bersimpati dengan mereka. Nampak sangat kejahilan mereka. Kita tidak menolak kepentingan belajar bahasa asing, terutama bahasa Inggeris, malah Islam amat menggalakkan. Tetapi jangan kerana kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Berikan bukti berasaskan kajian akademik, negara mana di dunia ini bangkit dan menjadi maju dengan bahasa Inggeris? Apakah Singapura akan mundur jika masih menggunakan bahasa Melayu setelah berpisah dengan Malaysia?

PM Singapura sekarang dan bapanya yang juga bekas PM begitu fasih berbahasa Melayu, malah boleh membaca Jawi. Cuba fikirkan kenapa? Peliknya, kenapa rakyat negara yang hidup bergenerasi masih tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa negara?

Apabila bekas Menteri MITI, mengkritik arahan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam di peringkat antarabangsa berbanding bahasa Inggeris, langkah kebelakang katanya. Apakah kajian secara akademik sudah dibuat mengenainya atau andaian sahaja?

Dia berkata semasa menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dia telah meminta kakitangan supaya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris untuk kecekapan dan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan mereka dan ia telah diluluskan oleh Kabinet pada masa itu.

Apakah MITI menjadi badan yang sangat hebat ketika itu? Tidak juga. Jadi, apa isunya?

Katanya lagi, kecekapan pegawainya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris menjadi pendorong utama dan faktor penarik dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya dalam bidang dan sektor yang disasarkan dan strategik. Boleh terangkan apakah pencapaian hebatnya? Jika tidak, jangan bercakap seperti angin lalu sahaja seperti orang nyanyuk.

Tidakkah dia faham, sebegitu lama memimpin MITI, daripada 10 indeks kemudahan perniagaan dan pelaburan asing dunia, tak ada satu pun berkenaan dengan bahasa yang digunakan.

Bukti kajian dunia menunjukkan, apa yang menjadi perhatian pelabur asing hanyalah faktor kestabilan, keamanan, undang-undang dan kemudahan yang disediakan oleh sesebuah negara. Inilah yang menarik pelaburan. Bahasa apa pun yang digunakan tidak menjadi masalah utama.

Melaka yang menjadi tumpuan dunia suatu ketika dahulu zaman kesultanan Melayu Melaka, bahasa apakah yang digunakan oleh pedagang ketika itu ketika berurusan dengan Melaka, kalau bukan bahasa Melayu?

Mari kita bersekolah bersama-sama atau kerana sudah terlampau tua untuk bersekolah, elok juga kita dapat berdebat bersama. Saya mahu buktikan kepada bahawa sejarah membuktikan Vietnam bangkit dengan kevietnamannya, Thailand bangkit dengan kesiamannya, begitu Indonesia bangkit dengan keindonesiaan. Tidak ada satu pun negara ini bangkit dengan keinggerisannya.

Tiba-tiba dia mahu Malaysia bangkit dengan keinggerisannya, bukan kemelayuannya atau kebumiputeraannya, yang menjadi tunggak kepada negara ini. Tidakkah dia sedar bahawa ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu?

Benar atau tidak, China bangkit dengan kecinaannya. Sejak dahulu mengamalkan dasar tutup pintu dengan semangat kecinaanya. Cina tetap maju. Malah mencipta media sosial sendiri, menolak media sosial barat. Kenapa terlalu obses dengan Barat?

Begitu juga Jepun dengan kejepunannya? Paling penting dalam kehidupan ini, keupayaan menguasai lebih daripada satu bahasa, bukan menjadi isu sangat. Paling penting soal sikap. Orang putih kata attitude dan aptitude. Negara Filipina, cair bahasa Inggerisnya, tidak ke mana-mana juga.

Syarikat yang diterajui oleh dia yang dilantik sebagai pengerusi dengan penggunaan bahasa Inggerisnya, adakah begitu maju dan mencanak keuntungannya.

Sedar atau tidak, dia – ‘makcik’ masih dilantik oleh syarikat tersebut, kerana bekas menteri, memudahkan mereka untuk berurusan dengan kerajaan.

Jika bukan bekas Menteri MITI dahulu, saya tidak fikir ‘makcik’ akan dilantik menjadi pengerusi syarikat itu dan ini atau berada menjadi Lembaga pengarah. ‘Makcik’ tidak sehebat mana semasa menjadi menteri dahulu.

Konon kata, Malaysia ‘syok sendiri’, daripada berwawasan kepada kepompong kecil yang mencederakan dirinya. Jika pemikiran ‘mundur’ ini berterusan dengan penalti yang dikenakan kerana tidak berkomunikasi dengan seluruh dunia dalam bahasa Inggeris maka kita akan menjadi birokrasi ‘pariah’ di Asean, tersekat dengan banyak kelemahan. Boleh berikan bukti? Jangan cakap kosong. Zaman ‘makcik’ sudah lepas.

Zaman ‘makcik’ sudah berakhir. Pandangan hanya akan semakin menjadikan ‘makcik’ semakin dijauhi. Duduklah rumah diam-diam. Tarbiah anak cucu. Buat persediaan dan persiapan untuk menuju ke alam ghaib, masa sudah tidak banyak. Tidak usahlah terlalu celupar, takut nanti makan diri.

Saya tidak lupa pandangan seorang pegawai ekonomi Jerman begitu hairan kenapa orang Malaysia begitu menyanjungi bahasa Inggeris hingga memperkecilkan bahasa negara sendiri. Hal ini katanya tidak mungkin akan berlaku di Jerman kerana semua rakyatnya berbangga dengan bahasa negara sendiri walau pun mereka juga belajar bahasa Inggeris.

Apakah kita tidak malu dengan kata-kata ini. Apakah Jerman semakin mundur apabila menggunakan bahasanya sendiri?

Benar kita harus belajar bahasa Inggeris supaya fasih dan memahaminya dengan baik. Tetapi usaha ini tidak seharusnya dengan mengabaikan bahasa Melayu. Ada yang langsung tidak tahu.

Saya cadangkan eloklah pergi berhijrah ke Perancis misalnya. Sudah tentu ‘makcik’ terpaksa belajar bahasa Perancis kerana mereka tidak akan diterima penduduk tempatan kalau berterusan berdegil tidak mahu belajar bahasa negara tersebut.

Jika ‘makcik’ masih belum sedar diri, lebih 100 saluran TV di Sepanyol, tidak ada satu pun saluran dalam bahasa Inggeris, melainkan bahasa mereka juga.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana ada rakyat negara kita terlalu mendewakan bahasa Inggeris hingga tergamak mengecilkan rakyat negara ini yang tidak fasih berbahasa asing?

Peliknya, mereka ini sedikit pun tidak berasa malu kalau tidak faham dan tidak tahu berbahasa Melayu. Paling hina, sudahlah tidak langsung tahu bahasa Melayu, masih tergamak meminta kerakyatan.

Paling sadis, kita terpaksa menggunakan bahasa Inggeris apabila ada seorang dua tetamu yang hadir dalam mesyuarat bukan Melayu. Bahasa asing lebih diutamakan sekiranya tetamu yang hadir terdiri daripada bukan Melayu, walaupun bilangannya amat kecil

Apakah dalam kepala otak kita, apabila bahasa Melayu digunakan, tidak ada orang hendak berlanggan atau berurus niaga dengan kita dan dianggap ia tidak boleh membawa keuntungan? Bertaubatlah wahai ‘makcik’ zdan saudaraku.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button