Berita UtamaUtama

Lebih 10,000 aduan hina Islam diterima sejak Mac

Perpecahan penyokong UMNO-PAS malapetaka kepada masyarakat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Syaaban 1440H, Rabu – Fenomena menghina agama Islam kini dilihat semakin membimbangkan dan perlu dibendung segera oleh masyarakat, bagi mengelakkan persekitaran yang tidak harmoni serta tidak aman di negara ini.

Prof Adjung Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Datuk Yazid Othman berkata, ia terbukti apabila unit pemantuan yang beroperasi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menerima lebih 10,000 aduan sejak pelancarannya awal Mac lalu.

“Aduan itu dibuat kerana tindakan segelintir masyarakat begitu berani mengeluarkan penulisan atau provokasi bersifat menghina Nabi Muhammad ﷺ serta agama Islam, terutamanya melalui media-media sosial,” katanya dalam forum Fenomena Hina Agama – Antara Tanggungjawab Sivil dan Hak Kebebasan Bersuara, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Beliau berkata, lebih menyedihkan lagi apabila berlaku dalam kalangan ahli politik yang mengeluarkan kata-kata provokasi terhadap agama Islam dengan menyifatkan kerjasama UMNO dan PAS sebagai satu pengisytiharan perang kepada orang bukan Islam.

Sedangkan, kata beliau, perpecahan antara penyokong UMNO dan PAS selama ini adalah satu malapetaka kepada masyarakat sehingga mewujudkan isu kafir mengkafir, suami isteri bercerai, ibu bapa dan anak putus hubungan silaturrahim, jiran sekampung tidak bertegur sapa, saling memulaukan dan sembahyang dua imam di masjid-masjid.

“Sekiranya perkara seumpama ini tidak dibendung maka ia boleh menjurus kepada suasana lebih tegang di kalangan rakyat secara berpanjangan dan boleh mengancam keselamatan negara dan mewujudkan suasana huru hara di kalangan mesyarakat.

“Kenyataan-kenyataan politik begini tidak membantu mewujudkan perpaduan kaum dan harmoni di kalangan masyarakat,” kata wartawan veteran itu.

Justeru, bagi mengatasi perkara berkenaan, Prof Yazid berkata, beliau sangat berharap supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan.

Suruhanjaya itu perlu bertindak dan mendakwa mana-mana individu dan pihak tertentu yang menggunakan media sosial dengan menulis dan menyebarkan berita bersifat menghina atau provokasi terhadap agama, tidak kira Islam atau pun agama-agama lain, tegasnya.

“Kerana mengikut Sheikh Dr Ahmad al-Raisuni, seorang ulama kontemporari dalam bukunya Maqalat Filhurriyyah bererti Kebebasan dan Pembebasan (dalam konteks Maqasid Syari’ah) berkata “Kebebasan bersuara bukanlah kebebasan untuk menyesatkan.”

“Oleh itu, semua pihak sama ada ahli politik, pemerintah dan masyarakat media adalah terbeban dengan tanggungjawab sivil bagi memperbetulkan kepincangan tersebut.

“Lebih-lebih lagi pihak warga media, baik media cetak, elektronik mahu pun media sosial mestilah menyebarluaskan sebaik mungkin bersekali dengan menyuarakan hak asasi manusia berpaksikan nilai-nilai murni agama disifatkan sebagai penanda aras utama dalam pencapaian prestasi kemanusian seluruh masyarakat dan negara ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close