Pendapat

Kewajiban menutup aurat

Pertikaikan apa diwajibkan syarak adalah perkara ditegah agama

1. BAGI muslimah, kewajiban menutup aurat itu adalah arahan yang telah difardukan oleh Allah. Perkara ini dinyatakan di dalam al-Quran yang menyebut:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka (wanita muslimah) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (al-Nur:31)

2. Dalam ayat ini al-Imam Ibn al-Jarir al-Tabari menghuraikan bahawa:

وليلقين خُمُرهنّ، على جيوبهنّ، ليسترن بذلك شعورهنّ وأعناقهن وقُرْطَهُنَّ.

“Hendaklah para wanita itu melabuhkan tudung kepala mereka menutup dada-dada mereka supaya tertutup juga dengan itu rambut, tengkuk dan telinga mereka.”

3. Perkara ini turut dijelaskan oleh al-Imam Ibn Kathir yang menyebut:

جمع خمار ، وهو ما يخمر به ، أي : يغطى به الرأس ، وهي التي تسميها الناس المقانع .
قال سعيد بن جبير : ( وليضربن ) : وليشددن ( بخمرهن على جيوبهن ) يعني : على النحر والصدر ، فلا يرى منه شيء .

“Yang dimaksudkan dengan khumur adalah sesuatu yang menutup kepada mereka. Said ibn Jubair (seorang Tabien) menjelaskan iaitu: hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka sehingga menutupi bahagian dada sehingga tidak terlihat sesuatu daripada situ.” (Tafsir Ibn Kathir).

4. Ketika turunnya ayat ini, Saidatina Aisyah memuji wanita Muhajirin kerana kesungguhan mereka menutup aurat seperti yang telah diwajibkan oleh Allah. Perkara ini diceritakan oleh oleh beliau sendiri dalam riwayat Abu Daud yang menyebut:

يرحم الله نساء المهاجرات الأول لما أنزل الله وليضربن بخمرهن على جيوبهن شققن أكثف مروطهن (نوع من الثياب) فاختمرن بها ” .

“Semoga Allah merahmati kepada kaum wanita Muhajirin yang awal. Mereka, apabila Allah menurunkan ayat : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ, mereka lantas mengoyakkan kain Murat (sejenis tekstil yang diperbuat daripada bulu bebiri) mereka lalu mereka jadikan sebagai tudung.”

5. Perbuatan mempertikaikan apa yang telah diwajibkan oleh syarak adalah perkara yang ditegah oleh agama. Perkara ini dijelaskan oleh artikel yang dinukilkan di laman Mufti Wilayah yang menyebut:

Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah berkata: “Jika seorang muslim mengingkari suatu hukum syarak yang sudah disepakati ke atasnya dan mudah diketahuinya dalam agama, maka dia sudah kafir.” Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (5/233).

6. Ada pula yang memanipulasi ayat ‘tiada paksaan dalam agama’ (la ikraha fiddin) dengan memetik dalil dari al-Quran dan menyatakan bahawa tiada paksaan dalam melaksanakan syariat tudung. Pada hakikatnya, ayat itu adalah ditujukan dalam aspek akidah, iaitu kita tidak boleh memaksa manusia memeluk Islam sedangkan muslim itu sendiri diwajibkan menerima arahan seperti yang digariskan dalam al-Quran.

Perkara ini dijelaskan oleh al-Imam Ibn Kathir yang menghuraikan ayat (la ikraha fiddin) dengan menyebut:

أي لا تُكْرِ هوا أحداً على الدخول في دين الإسلام

“Iaitu seseorang itu tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam.” (Tafsir Ibn Kathir)

7. Program de-hajibing yang dianjurkan sebelum ini adalah jelas bercanggah dengan syarak apabila mereka kelihatan mempunyai usaha memberikan nasihat kepada sesuatu yang bercanggah dengan syarak. Adalah lebih malang lagi apabila ada yang memanipulasi ayat al-Quran untuk menolak sesuatu yang telah disyariatkan oleh Allah.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close