Berita UtamaUtama

VIDEO | 407 hilang tempat tinggal kebakaran rumah panjang

Warga emas melecur ketika masuk semula dalam rumah ambil barang

SARAWAK, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu mengesahkan seramai 407 mangsa hilang tempat tinggal selepas rumah panjang mereka di Uma Bawang, Sungai Koyan, di Skim Penempatan Semula Sungai Asap musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, kesemua mangsa itu adalah penghuni di dua daripada lima blok rumah panjang di Uma Bawang.

“Seramai 198 orang adalah dari blok D manakala, 209 lagi mangsa dari blok E. Kebakaran disyaki bermula dari salah sebuah bilik di blok D,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri semasa kejadian tetapi seorang wanita berusia 70 tahun dilaporkan melecur di bahagian belakang, apabila masuk semula ke rumah panjang untuk mengambil barang.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan.


“Kebanyakan mangsa kini menumpang sementara di rumah saudara-mara yang tinggal di tiga lagi blok rumah panjang berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

Pihak bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 6.03 petang, dan 11 anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Perjalanan ke tempat kejadian memakan masa kira-kira dua jam melalui Jalan Bintulu-Bakun.

Sebelum ketibaan pihaknya, kebakaran itu telah berjaya dikawal sekitar jam 7 petang oleh Pasukan Bomba Sukarela Uma Daro, Sungai Asap dengan kekuatan jentera seramai 45 anggota. Operasi menyelamat disahkan tamat pada jam 2.21 pagi tadi. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close