Berita Utama

Kes luar tabii: Kuasa ditarik, fungsi Syariah mula diperkecil

Buka pelbagai 'floodgate' pihak lain cabar perundangan Islam

BANGI, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Ramai melihat isu keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan bidang kuasa badan perundangan negeri sebagai sesuatu yang boleh diterima.

Hal ini kerana ia dikatakan sebagai selari dengan peruntukan Perlembagaan di negara ini.

Bagaimanapun, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan, hakikat daripada perkara itu mengakibatkan fungsi Mahkamah Syariah dikecilkan dan ditarik kuasanya sedikit demi sedikit.

Keadaan tersebut, kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu lagi meletakkan kedudukan undang-undang Syariah di belakang Mahkamah Sivil.

“Ini juga membuka pelbagai ‘floodgate’ yang lain. Peruntukan undang-undang Syariah mana pula yang akan dicabar selepas ini dan bakal diserahkan kepada Mahkamah Sivil nanti?

“Jika itu tidak mencukupi atau sukar untuk difahami, lihatlah pula dari perspektif mengapakah pejuang-pejuang ‘El-gi-bi-tee’ bersorak penuh kegembiraan atas keputusan mahkamah ini,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang Syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen yang diluluskan itu juga bertentangan dengan Senarai Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Seksyen 28 tidak konsisten dan tidak sah,” katanya.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya semalam berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara tidak langsung mengurangkan kuasa milik Majlis Raja-Raja Melayu.

Katanya, perkara tersebut nyata membimbangkan kaum Bumiputera berikutan raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri-negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button