Berita UtamaUtama

Tun M: Kita belum perlukan HSR

Beri tumpuan tingkat kualiti sistem perkhidmatan kereta api sedia ada

PUTRAJAYA, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bukanlah projek yang ‘benar-benar perlu’ bagi Malaysia buat masa ini, memandangkan ia hanya menghubungkan Singapura dan Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sebaliknya tumpuan Malaysia kini adalah berkenaan usaha mempertingkat kualiti perkhidmatan kereta api sedia ada.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia berkemungkinan perlu membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi kelak bagi laluan Johor Bahru-Pulau Pinang atau ke sempadan Thailand.

“Jadi, kita tidak akan membangunkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi buat masa ini, sebaliknya kita mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan sistem tren kita, dan ia sedikit sebanyak telah dilaksanakan, iaitu landasan berkembar dan elektrik,” katanya selepas berucap di pameran Technomart Rail 2019 di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, projek HSR itu tidak memberi manfaat sekiranya tempoh perjalanan hanya 30 minit lebih cepat kerana pengguna tetap perlu mengambil masa untuk pergi ke stesen kereta api.

“Sekiranya kepanjangan landasan memuaskan serta dapat menjimatkan dua hingga enam jam, jadi saya berpendapat projek kereta api berkelajuan tinggi adalah jawapannya dan ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura telah digantung pada September tahun lalu sehingga akhir Mei 2020, susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita sekiranya kerajaan berunding dengan Singapura untuk projek HSR dilaksanakan selepas tempoh itu, Dr Mahathir berkata:

“Buat masa ini, kita tidak akan membangunkannya. Kita telah memohon tempoh dua tahun sebelum kita membuat rundingan semula mengenai HSR.

“Kerajaan tidak menawarkan sebarang kontrak, namun kita perlu membayar pampasan kepada Singapura kemudian,” katanya hari ini.

Namun, apabila ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbang beberapa bentuk pengurangan cukai ke atas industri kereta api, beliau berkata kerajaan akan meneliti perkara itu dan mungkin mengubah sistem cukai berkenaan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close