Berita UtamaDunia

Makin banyak negara Eropah ‘halalkan’ Islamofobia

Tindakan keras diambil terhadap NGO Islam perangi jenayah kebencian

ISTANBUL, 24 Syaaban 1444H, Jumaat – Negara-negara di Eropah membenarkan jenayah kebencian terhadap umat Islam dengan ‘menghalalkan’ Islamofobia dan memperkenalkan undang-undang yang mengharamkan atau mengehadkan amalan agama mereka, menurut seorang pakar.

“Setiap tahun, kita melihat sesebuah negara tampil dengan rancangan baharu dengan undang-undang baharu, atau parti di Eropah bertindak mengharamkan sesuatu membabitkan amalan agama umat Islam.

“Ini boleh jadi larangan menara yang terdapat di masjid-masjid, larangan hijab atau larangan burka. Peraturan-peraturan seperti ini sedang direalisasikan setiap tahun dan ia menjadi semakin biasa di Eropah,” kata profesor di Universiti Turki-Jerman yang berpangkalan di Istanbul, Enes Bayrakli.

Beliau berkata demikian kepada agensi berita Anadolu mengenai situasi semasa umat Islam di negara Eropah bersempena Hari Antarabangsa Memerangi Islamophobia pada 15 Mac lalu.

“Ia (Islamofobia) semakin diinstitusikan dan dihalalkan. Terdapat perdebatan di bahagian berbeza Eropah untuk menghalalkan Islamofobia,” katanya.

Penyunting bersama laporan tahunan yang dinamakan European Islamophobia Report, Bayrakli turut berkongsi sorotan daripada laporan 2022, dengan menyatakan bahawa tiga negara muncul sebagai negara yang mudah ‘menyerang’ umat Islam pada 2022.

Tiga negara berada di barisan hadapan – Perancis, Austria dan Denmark.

“Malangnya, di negara-negara ini, perdebatan mengenai umat Islam sangat radikal, dan kerajaan mengambil sikap yang sangat keras terhadap NGO Islam dan individu yang memerangi Islamofobia,” katanya.

Bayrakli menjelaskan bahawa ‘NGO Muslim’ terutamanya di Perancis, berada di bawah tekanan yang hebat daripada kerajaan negara itu, dan banyak yang telah ditutup oleh kerajaan tanpa sebarang kes mahkamah atau bukti ekstremisme atau radikalisme.

“Suasana syak wasangka tentang umat Islam, institusi mereka, masjid mereka, kehidupan beragama mereka, kehidupan peribadi mereka dimasukkan ke dalam naratif di negara-negara ini oleh ahli politik, media dan intelektual. Malangnya ini menjadi semakin diterima dan normal,” katanya.

Mengelak menggunakan istilah Islamofobia

Banyak negara di Eropah kini enggan mengakui Islamofobia dan enggan menggunakannya sebagai istilah dalam ucapan dan naratif mereka, kata Bayrakli.

Memetik contoh, beliau berkata, Majlis Eropah telah melantik penyelaras menentang kebencian anti-Muslim, manakala mereka mengelak daripada menggunakan perkataan Islamofobia kerana mereka berada di bawah tekanan negara seperti Perancis.

“Terdapat tentangan politik untuk tidak mengakui masalah Islamofobia. Mereka cuba melarikan diri dan bermain-main dengan masalah ini supaya mereka tidak menggunakan perkataan itu.  

“Apabila anda tidak menggunakan perkataan, sudah tentu bermakna anda tidak mengakui secara politik bahawa ada masalah,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button