Berita UtamaUtama

Tadbir urus TH lebih telus, profesional: Pakar kewangan

Hasil kawal selia BNM dan tanpa campur tangan politik mampu melonjakkan Tabung Haji sebagai institusi umat Islam disegani

KUALA LUMPUR, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Pakar kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman melihat Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah pengurusan sedia ada telah meletakkan institusi Islam itu di landasan yang betul dengan tadbir urus korporat lebih telus dan profesional.

Prof Adjung Fakulti Perakaunan dan Kewangan Universiti Selangor itu berkata hasil proses penstrukturan TH, institusi itu mempunyai pengurusan pelaburan dan risiko lebih mampan.

“Sekarang ini aset dan liabiliti TH sudah stabil dan bukannya berdasarkan ‘creative accounting’ yang mengubah ciri-ciri akaun mengikut kehendak TH tetapi tidak didedahkan dalam laporan kewangan dan tidak diberitahu kepada rakyat.

“Hari ini, TH kembali kepada fungsi berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 dan (laporan kewangan) dimaklumkan kepada Parlimen dan khalayak,” katanya ketika menjadi tetamu program “Ala Carte” terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama di sini.

Pelan penyusunan semula yang selesai pada 31 Disember lepas bagi mengukuhkan semula prestasi kewangan syarikat membuahkan hasil dengan menyaksikan TH menjalankan satu program pemulihan dan penyusunan semula aset tidak berdaya saing (ekuiti dan hartanah).

Aset-aset itu telah dipindahkan ke syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd, pada harga RM19.9 billion dalam bentuk dua sukuk yang masing-masing bernilai RM10 bilion dan RM9.6 bilion dengan pulangan sebanyak 4.05 peratus dan 4.1 peratus (RM800 juta setahun).

Melalui langkah itu, TH berjaya memperoleh lebihan aset sebanyak RM1 bilion selepas mencatatkan jumlah aset RM76.5 billion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion.

Zaharuddin berkata, melalui perkembangan positif hasil kawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan tanpa campur tangan politik juga mampu melonjakkan kembali TH sebagai institusi umat Islam yang disegani.

Beliau berkata melalui asas kukuh itu akan membolehkan TH melaksanakan pelbagai strategi bagi memberi manfaat kepada pendeposit termasuk kemungkinan cadangan memperkenalkan dua akaun yang masing-masing bagi tujuan mengerjakan ibadah haji dan pelaburan.

“Akaun orang yang betul-betul nak pergi haji tidak akan terdedah kepada risiko untung dan rugi yang tinggi tetapi akan diurus dengan sangat stabil dengan pelaburan ke tempat-tempat yang ‘fix income’.

“Contohnya sukuk kerajaan yang mana risikonya sangat rendah, maka keuntungannya akan bersifat rendah juga,” katanya berhubung langkah yang boleh diambil TH bagi meminimumkan risiko pelaburan bagi manfaat pendeposit. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close