Berita UtamaUtama

Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

Masalah NRW di Kedah masih berada pada tahap tinggi, kata MB

ALOR SETAR, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Kerajaan Kedah kini dalam proses mendapatkan pinjaman mudah sebanyak AS$50 juta (kira-kira RM200 juta) daripada sebuah bank di luar negara bagi menambah baik infrastruktur bekalan air di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pinjaman itu dimohon melalui kerjasama dengan Kementerian Kewangan dan akan digunakan untuk mengatasi masalah Air Tidak Berhasil (NRW).

“Seperti yang banyak dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat di negeri ini, masalah air tanpa hasil (NRW) berada pada tahap masih tinggi iaitu 49 peratus.

“Kita harap dengan projek NRW yang dibiayai bank luar negara ini, setelah dimeterai perjanjian dengan Kementerian Kewangan, kerajaan negeri boleh mulakan projek NRW ini dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas penangguhan mesyuarat keempat penggal pertama Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan menjalankan kajian terperinci berhubung NRW bagi mengenal pasti kawasan terbabit.

“Kawasan yang kerap berlaku kebocoran (paip air) tidak boleh diumumkan selagi tidak diputuskan oleh SADA bersama pihak bank (yang akan memberi pinjaman),” kata Mukhriz.

Sementara itu, beliau berkata beberapa hari lepas, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memaklumkan pada sidang media di Dewan Rakyat bahawa sebanyak RM1.7 bilion daripada hutang infrastruktur air Kedah akan dihapus kira dan dianggap sebagai geran daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri kini dalam proses menulis surat kepada kementerian berkenaan untuk mendapatkan pengesahan mengenai hapus kira hutang itu,” katanya yang turut berkata keputusan itu akan meringankan beban kewangan kerajaan negeri. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close