Berita UtamaIstimewaUtama

Inkues Adib untuk melindungi ‘pembunuh’, kata Lokman Adam

Afidavit Peguam Negara menyatakan kematian Adib bukan kerana dipukul mengesahkan kenyataan Ahli MT UMNO beberapa bulan lalu

BANGI, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, masih meneruskan prosiding, tetapi peguam negara telah membuat keputusan lebih awal bahawa Allahyarham meninggal dunia bukan disebabkan dipukul.

Afidavit peguam negara mengenai perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, sebagaimana dinyatakan peguam jawatankuasa bertindak kuil di Seafield, M Visvanathan ketika memberitahu anak guamnya menarik balik rayuan berdasarkan afidavid yang difailkan pada 3 April lalu.

Perkara ini mengejutkan Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, kerana bukan sahaja apa yang didakwanya sebelum ini menjadi kenyataan, malah beliau telah dilokap kerana menyatakan perkara itu.

“Saya dilokap kerana menyatakan punca kematian Adib akan berubah daripada dipukul kepada kemalangan. Kini apa yang saya katakan menjadi kenyataan apabila Jabatan Peguam Negara membuat rumusan Adib tidak dipukul,” katanya mengulas afidavit itu, hari ini.

Beberapa bulan lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu ditahan di dalam lokap Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, selepas beliau membuat kenyataan mendakwa telah menerima maklumat dalaman mengatakan ada pihak di dalam Kabinet mahu laporan perubatan arwah Adib diubah daripada cedera akibat dipukul, kepada cedera dan meninggal akibat kemalangan.

“Hari ini, walaupun Inkues belum mengeluarkan keputusan rasmi, apa yang saya perkatakan akhirnya menjadi kenyataan apabila Jabatan Peguam Negara merumuskan bahawa Adib mati bukan kerana dipukul oleh sesiapa.

“Sungguhpun wujud video yang jelas membuktikan bahawa arwah Adib tidak tersepit diantara trak bomba dengan kenderaan EMRS, ketika trak bomba mengundur ke belakang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Serta keterangan Prof Dr Shahrom Abdul Wahid yang menyatakan bahawa Adib ditarik keluar serta dihentak oleh beberapa individu sehingga tulang rusuknya patah dan menusuk paru-parunya. Saya amat terkejut dengan rumusan Jabatan Peguam Negara ini!,” katanya.

Lokman berkata, ‘kekuatan’ yang diberikan oleh kerajaan ditunjangi DAP kepada Tommy Thomas, jelas memberanikan dia melakukan apa sahaja tanpa takut implikasi daripada perbuatan itu.

Beliau berkata, tindakan peguam negara melindungi pembunuh Adib dengan mewujudkan inkues sangat tidak bertanggungjawab dan satu pengkhianatan kepada rakyat, khususnya arwah Adib sebagai seorang penjawat awam.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yang memukul Adib berniat untuk membunuhnya, dan beliau tidak sepatutnya membutakan mata hatinya.

“Ini nyawa seorang anak muda Melayu, jika kamu sebagai pemimpin Melayu sanggup melindungi perbuatan Peguam Negara ini, siapa lagi yang akan membela insan ini?

“Tindakan Peguam Negara mewujudkan inkues adalah sangat tidak bertanggungjawab dan tidak munasabah kecuali jika Peguam Negara mahu menyelamatkan keempat-empat tertuduh dari tali gantung.

“UMNO dan PAS serta NGO-NGO Islam selaku pembela Islam dan orang Melayu perlu menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran bagi membantah kewujudan ikues yang jelas bertujuan untuk melindungi pembunuh Adib,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close