Berita UtamaUtama

Infoline CCID mudahkan rakyat salur aduan, maklumat

Orang ramai boleh semak, dapatkan pengesahan kes jenayah komersial

BANGI, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Polis Diraja Malaysia melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) hari ini memperkenalkan platform infoline CCID, bagi membolehkan rakyat menyalurkan maklumat, aduan atau pertanyaan membabitkan jenayah komersial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mazlan Mansor berkata, infoline CCID adalah platform untuk menambah baik sistem penyampaian melalui perkhidmatan yang cepat dan tepat kepada masyarakat.

Beliau berkata, ia juga sebagai medium untuk menyemak dan mendapatkan pengesahan berkenaan kes-kes jenayah komersial, selain menyemak laporan polis yang telah dibuat serta mendapatkan perkembangan kes.

“Ia juga menjadi medium bagi masyarakat menyalurkan maklumat berkait kes-kes jenayah komersial, khususnya bagi jenayah bersindiket (panggilan penyamaran Macau Scam, jenayah E-Dagang, tipu pinjaman tidak wujud serta penipuan dan pemalsuan dokumen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, medium itu hanya beroperasi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi Whatsapp sahaja, tanpa sebarang panggilan suara akan diterima atau keluar daripada infoline CCID.

“Nombor talian yang digunakan adalah 013-2111222. Waktu operasi bagi infoline adalah dari 8 pagii sehingga 12 tengah malam, setiap hari.

“Ini adalah bagi tujuan urusan pentadbiran untuk penyediaan laporan harian infoline CCID. Maklum balas setiap aduan atau maklumat yang diterima akan diberikan dalam tempoh masa terdekat,” katanya.

Mazlan berkata, aduan yang mahu dibuat mestilah menggunakan nombor telefon yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi di Malaysia.

Katanya, kesahihan maklumat akan disemak terlebih dahulu oleh pengendali infoline sebelum maklum balas diberi.

“Maklumat atau butiran pengaduan mestilah bukan bersifat jahat, tohmahan tidak berasas, menggunakan perkataan yang lucah atau menjelikkan atau bertujuan menjatuhkan kredibiliti individu atau organisasi.

“Sebarang gurauan (prank) tidak akan dilayan dan sekiranya didapati ada pihak dengan sengaja mereka atau mengadakan keterangan palsu, tindakan boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close