Berita UtamaDuniaPalestinUtama

EU digesa tolak rancangan AS berkaitan konflik Israel-Palestin

Rancangan Trump berat sebelah, tidak adil kepada rakyat Palestin

BRUSSELS, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Sekumpulan bekas ahli politik Eropah menandatangani surat kepada Kesatuan Eropah (EU), menggesa blok itu menolak rancangan keamanan Amerika Syarikat (AS) kepada Timur Tengah, berkaitan konflik Israel-Palestin.

Surat yang dialamatkan kepada Ketua Dasar Luar Negara EU, Federica Mogherini dan dikirimkan kepada akhbar The Guardian untuk diterbitkan, telah ditandatangani oleh 25 bekas menteri luar negeri, enam bekas perdana menteri dan dua bekas setiausaha jeneral Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Surat itu muncul ketika Presiden AS, Donald Trump bersedia untuk memperkenalkan rancangan pentadbirannya yang digelar ‘the deal of the century’ berkenaan konflik Israel-Palestin.

“Sudah tiba masanya bagi Eropah menegakkan pendirian berkenaan rundingan damai Israel-Palestin. Rancangan AS berat sebelah dan tidak adil kepada rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan surat itu.

Pihaknya turut menggesa penyelesaian bagi menjamin negara Palestin mendapat kedaulatan sepenuhnya.

“Kami yakin bahawa rancangan AS untuk mengurangkan status kenegaraan rakyat Palestin kepada entiti yang tidak mempunyai kedaulatan, akan merumitkan usaha kedamaian sebelum ini,” kata bekas pegawai itu.

Pada masa sama, mereka juga mengkritik pentadbiran Trump kerana sikap tidak acuh terhadap keluasan penempatan haram, yang disokong oleh Perdana Menteri Israel yang baru dilantik semula, Benjamin Netanyahu.

“Malangnya, pentadbiran AS sekarang telah tersasar dari polisi dan dasar negara itu,” demikian kenyataan dalam surat berkenaan.

Menantu lelaki Trump bersama penasihat kanannya, Jared Kushner telah mengadakan lawatan serantau dalam tempoh dua tahun lalu, untuk mendapatkan sokongan rancangan itu secara diam-diam.

Sebelum ini, prospek perdamaian antara Israel dan Palestin telah ‘dimusnahkan’ sejak Disember 2017, apabila Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ‘ibu kota Israel’.

Beliau juga telah memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar yang diduduki pada 14 Mei 2018, kononnya kebetulan pada ulang tahun ke-70 Hari Nakhba.

Hakikatnya, sambutan hari itu menandakan pengusiran Israel terhadap rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close