Berita UtamaUtama

Ancaman terhadap Anggota Kongres Islam AS meningkat

Donald Trump hasut kebencian, keganasan terhadap umat Islam

WASHINGTON, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Wanita Islam pertama yang diangkat menjadi Anggota Kongres Amerika Syarikat (AS), Ilhan Omar, mengesahkan ancaman bunuh terhadapnya meningkat sejak Presiden Donald Trump memuat naik klip video disunting dalam Twitternya mengenai serangan pada 11 September 2001.

“Kenyataan itu berbahaya. Ia harus dihentikan,” kata Ilhan.

Susulan itu, Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi menggesa Trump menarik balik klip video berunsur fitnah itu, selain mengambil langkah memastikan keselamatan senator Demokrat yang mewakili Minnesota itu.

Sebaik sahaja Pelosi mengeluarkan kenyataan itu, klip video berkenaan hilang daripada twit kekal di bahagian atas Twitter Trump, tetapi tidak dipadamkan.

Pelosi adalah antara anggota Demokrat yang mengkritik Trump, termasuk menuduh presiden AS itu cuba menghasut keganasan terhadap ahli politik Islam.

Setakat ini, seorang lelaki New York dituduh di mahkamah kerana membuat ancaman bunuh terhadap Ilhan.

“Kata-kata presiden memberi kesan dan retorik kebencian serta mencetuskan bahaya sebenar. Presiden Trump perlu menarik balik video biadab dan berbahaya,” kata Pelosi.

Semalam, Trump menerusi laman Twitternya berkata, Ilhan ialah seorang yang sukar dikawal dan beliau juga mengkritik Pelosi kerana mempertahankan Ilhan.

“”Jenayah keganasan dan tindakan kebencian yang lain oleh pelampau sayap kanan dan nasionalis kulit putih semakin meningkat di negara ini dan di seluruh dunia.

“Kita tidak boleh lagi menolak bahawa mereka memang digalakkan berbuat demikian oleh penghuni White House,” kata Ilhan.

Ilhan telah menerima banyak ugutan bunuh sejak mula berkhidmat pada Januari.

Bulan lalu, beliau menjadi subjek serangan anti-Islam di perundangan West Virginia, di mana sekeping poster yang disunting dipaparkan di sebuah perhimpunan ekoran serangan 9/11.

“Negeri-negeri yang menjadi tuan rumah kepada perhimpunan Trump pada 2016 menyaksikan peningkatan sebanyak 226 peratus dalam jenayah kebencian pada bulan berikutnya.

“Serangan kebencian juga meningkat di bandar-bandar yang menjadi penganjur kepada perhimpunan Trump. Retorik yang ganas dan semua bentuk ucapan kebencian tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita, apa lagi daripada ketua komander tertinggi tentera,” kata Ilhan.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar White House, Sarah Sanders mempertahankan tindakan Trump, menyatakan presiden mempunyai tugas untuk membongkar sejarah Ilhan memberi komen yang dianggap anti-Semitik atau menyinggung perasaan.

Klip video yang ditonton lebih 10.4 juta kali setakat hari ini, berakhir dengan kata-kata : ‘Kami mengingati 11 September.’ – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close